IPOH: Perak akan tetap melaksanakan pembenihan awan meskipun paras air di Empangan Kolam Bukit Merah di Kerian menunjukkan sedikit peningkatan berbanding sebelumnya.

Ujar Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, pembenihan awan perlu dilaksanakan memandangkan empangan tersebut tidak mempunyai mata air atau sumber yang mencukupi seperti tasik lain.

"Kalau tiada hujan dan air di Empangan Bukit Merah dialirkan keluar untuk pengairan, akhiranya kering juga.

"Sebab itu kita kena bersiap sedia bila masa yang diperlukan kita mesti sentiasa tampung air di dalam takungan itu.

"Tetapi kerana musim kemarau dan tiada hujan maka pembenihan awan itu masih diperlukan, kerana sekarang musim panas," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas hadir Program Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak di Stadium Indera Mulia, di sini pada Selasa.

Setakat hari ini, portal rasmi Public InfoBanjir menyatakan paras air di empangan itu berada pada bacaan 6.82 meter, dengan bacaan normal ialah 8.68 meter.

Terdahulu media melaporkan, kerajaan Perak akan menjalankan pembenihan awan untuk mengatasi masalah paras air di empangan Kolam Bukit Merah di Kerian yang semakin surut.

Saarani berkata, ia susulan laporan dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri Razman Zakaria pada mesyuarat Exco kerajaan negeri baru-baru ini.

Saarani dipetik berkata, kerajaan negeri akan berusaha memberikan peruntukan diperlukan bagi proses pembenihan awan seperti yang dinyatakan Razman bagi membantu para petani di kawasan terbabit.