KUALA LUMPUR: Sebanyak empat sungai utama di Pahang dan satu di Selangor masih merekodkan paras air bahaya setakat jam 6 pagi, hari ini.

Justeru itu, penduduk di kawasan terlibat dinasihatkan untuk bersiap sedia dan mematuhi arahan pihak berkuasa.

Berdasarkan kemas kini terkini portal Info Banjir, Sungai Bera di Jambatan Sungai Bera, Bera, merekodkan bacaan 27.08 meter melepasi paras bahaya 26 meter.

Sungai Pahang di Water Front di Bera juga merekodkan bacaan 30.25 meter melebihi paras bahaya 29.5 meter.

Seterusnya Sungai Kundang di Jambatan Sungai Kundang, Maran merekodkan bacaan 24.01 meter melepasi paras bahaya iaitu 23 meter.

Manakala Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran pula merekodkan 20.01 meter melepasi paras bahaya 19 meter.

Dalam pada itu, terdapat tiga sungai di Pahang menunjukkan bacaan amaran iaitu Sungai Jengka di Kampung Jengka Batu 13, Maran, Sungai Pahang di Temerloh (Lubuk Pasu), Temerloh dan Sungai Pahang di Paloh Inai, Pekan.

Sementara itu, di Selangor, Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat merekodkan 4.21 meter melepasi paras bahaya 4.2 meter.