TINGGAL beberapa minggu menjelang 31 Ogos - ulang tahun sambutan Hari Kebangsaan, negara telah mengukir sejarah tersendiri.

Dewan Rakyat meluluskan undang-undang yang telah lama diharap dan ditunggu. Selepas ini Dewan Negara akan membahaskan perkara tersebut pada 9 Ogos ini bagi melengkapkan kitaran proses dewan perundangan peringkat pusat.

Dengan itu, diharap ia akan diikuti oleh setiap kerajaan negeri yang turut memerlukan pindaan perlembagaan atau undang-undang tubuh negeri masing-masing. Ia penting untuk menyeragamkan keperluan di kedua-dua peringkat, sekali gus memastikan kestabilan holistik.

Pastinya kesemua negeri akan dengan segera mengambil tindakan masing-masing bagi memenuhi objektif besar negara memandangkan masalah yang sama turut menjejaskan kestabilan peringkat negeri, dan tempiasnya dirasai di peringkat pusat.

Malah banyak negeri telah melahirkan komitmen mereka untuk mengadkaan peruntukan undang-undang yang sama. Jadi tidak akan ada sebarang masalah ke arah itu.

Selaku seorang yang pernah menjadi Ahli Dewan Rakyat, saya mengucapkan tahniah kepada setiap ahli Dewan Rakyat yang telah mengundi meluluskan rang undang-undang (RUU) yang bertujuan memastikan tidak ada lagi perbuatan lompat-melompat parti politik, yang kita tahu berlaku dan dilakukan atas pelbagai sebab.

Pentingnya anggota dewan perundangan telah mengambil pendekatan berlapang dada demi kepentingan negara.

Keputusan yang dibuat pada 28 Julai 2022 ini mempunyai pengertian tersendiri. Membina dan konstruktif.

Kita sudah lama bercakap mengenai kestabilan berkekalan yang diperlukan. Akhirnya, ahli-ahli Parlimen telah bertindak dengan penuh matang dan profesional dalam menerima RUU yang diperlukan ini, khususnya selepas banyak perkembangan tidak sihat dari segi demokrasi yang berlaku sejak selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

RUU Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2022 bagi menghalang ahli Parlimen menukar parti diluluskan di Dewan Rakyat oleh kesemua 209 ahli Parlimen yang hadir. Berdasarkan laporan media kesemua ahli Parlimen yang hadir mengundi untuk menyokong RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti sementara 11 lagi ahli Parlimen tidak hadir.

Ketika membentangkan RUU itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menekankan bahawa penggubalan RUU Perlembagaan Persekutuan dan Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti dibuat untuk memberikan mesej yang jelas kepada setiap ahli Dewan Rakyat supaya berpegang kepada prinsip parti yang diwakili untuk melindungi mandat rakyat.

Malah menurut beliau, RUU ini juga merupakan komitmen kerajaan untuk memastikan kestabilan politik dan mengelakkan negara terus berdepan dengan krisis politik yang tiada berkesudahan.

Beliau yakin RUU ini mampu menghentikan tindakan mana-mana pihak yang dipilih dan dilantik daripada bertukar parti tanpa sebab kukuh atau alasan munasabah, sekali gus memastikan kestabilan politik negara untuk suatu jangka masa panjang.

RUU ini merupakan satu sejarah besar negara kerana ia dihasilkan melalui perundingan dan perbincangan di antara kedua-dua belah pihak iaitu kerajaan dan pembangkang.

Keperluan undang-undang itu kelihatan amat mendesak selepas PRU-14 meskipun perkara itu sudah lama diperkatakan dan dibangkitkan. Terutama sejak tahun 1992 apabila kerajaan negeri Kelantan mencabar tindakan anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) keluar parti.

Yang pentingnya negara telah mengambil satu langkah membina ke arah sistem pentadbiran lebih membina, profesional, dan penuh berintegriti. Malah yang lebih penting sikap kebertanggungjawaban dalam kalangan parti politik dan wakil rakyat.

Keperluan undang-undang memberi mesej yang jelas bahawa negara memerlukan kestabilan di semua segi dan peringkat.

Kita masih boleh mewujudkan kestabilan jika kita ada integriti dan rasa tanggungjawab dalam setiap tindakan yang dilakukan.

Kita masih mengekalkan satu-satu pentadbiran atau kerajaan berterusan jika tidak diganggu oleh mana-mana pihak. Pentingnya setiap orang perlu ada rasa bertanggungjawab kepada negara. Ini yang kita katakan patriotisme.

Bagi saya pendirian yang dizahir kan oleh ahli Dewan Rakyat pada Khamis lalu juga merupakan satu bentuk patriotisme.

Kita perlu mengutamakan kepentingan negara berbanding kepentingan diri dan parti politik. Kepentingan negara mengatasi kepentingan politik sempit. Kita tinggalkan cara berpolitik lama. Kita amalkan pendekatan berpolitik baharu, lebih matang dan membina.

Oleh itu sokongan undi yang besar, melepasi sokongan dua pertiga, dengan sendiri menunjukkan bahawa sudah ada persefahaman bersama dalam kalangan ahli Parlimen demi kesejahteraan dan kemakmuran negara.

Itu yang kita perlukan. Jika sikap dan semangat itu berterusan, kita boleh menyelesaikan banyak masalah, isu dan konflik.

Perkembangan sejak PRU-14 menunjukkan bahawa negara memerlukan gelombang kestabilan yang berkekalan demi menjamin kesinambungan pembangunan dan pertumbuhan serta kesejahteraan.

Semua pihak merasakan keperluan yang mendesak itu demi kepentingan bersama. Satu kumpulan pihak iaitu ahli-ahli Parlimen telah mencerminkan keperluan itu dengan menyokong RUU yang diketengahkan, dan memberi undi sokongan bagi memastikan ketidakstabilan politik berterusan.

Malah perkembangan 28 Julai dengan sendiri menunjukkan kematangan parti-parti politik. Kita tidak boleh ada mana-mana wakil rakyat keluar parti sesuatu hati, sekaligus mengganggu-gugat pentadbiran negara.

Kita perlu menghormati mandat yang diberikan oleh rakyat yang merupakan mereka yang mempunyai kuasa. Perbuatan menghargai mandat yang diberikan juga salah satu bentuk patriotisme.

Lipatan sejarah 28 Julai juga menunjukkan institusi parlimen telah mengambil langkah yang jitu bagi meningkatkan martabat parlimen dan sistem pilihan raya. Selepas lebih enam dekad negara merdeka, dan selepas 14 pilihanraya umum, sudah sampai masanya kita memerlukan kematangan berpolitik dan integriti dalam kalangan wakil rakyat.

Saya amat yakin bahawa rakyat terutama pemilih akan membina persepsi positif terhadap ahli-ahli politik, parti politik dan wakil rakyat dengan adanya penggubalan undang-undang ini. Dan, mampu memperbaiki martabat wakil rakyat dari kaca mata pengundi.

Malah, saya yakin langkah terbaharu ini juga akan menyumbang ke arah peningkatan penyertaan pemilih dalam pilihan raya, iaitu keluar mengundi, selepas situasi hambar disaksikan ketika Pilihan Raya Negeri Melaka, Sarawak dan Johor.

Sebagaimana disebutkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika penggulungan, RUU ini bukan penyelesaian seratus peratus kepada semua permasalahan yang timbul. Tetapi ia merupakan langkah pertama ke arah lebih membina dan kestabilan.

Semoga impak positif lebih menyeluruh akan disaksikan selepas ini demi kesejahteraan bersama semua pemegang taruh.


* Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim ialah Pengarah Urusan Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur dan Profesor Pelawat, University Huaqiao, China.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.