KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas keputusan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon yang tidak membenarkan isu kenaikan harga barang dibahas di Parlimen sebaliknya hanya dibahas di Kamar Khas.

Menurutnya, perkara besar sebegitu perlu dibahaskan secara terbuka melibatkan semua kementerian yang terkait dengan isu tersebut dan bukan secara terhad seperti diputuskan Speaker.

Beliau turut menyenaraikan dua alasan ia perlu dibahas di Parlimen, pertama kerana itu adalah kerana kepentingan rakyat dan kedua, ia melibatkan banyak kementerian.

Tegasnya, sekiranya perkara tersebut dibincang di Kamar Khas, ia tidak menepati tuntutan seperti yang berlaku sekarang.

“Belajarlah dari pengalaman. Tahun 1974, bila berlakunya Demonstrasi Baling, harga getah jatuh. Apa jawapan menteri pada waktu itu? Tahun 1974, ah ini kerana ‘stockpile’ di Amerika Syarikat maka sabar-sabar lah tuan-tuan.

“Orang nak 'mentekedarah''  pun tak cukup. Jadi sekarang ini jawapannya sama. Daripada 1974, Rusuhan Baling, sampai sekarang, menteri-menteri belum belajar lagi pengalaman dan derita rakyat.

“Sebab itu saya katakan orang tak nak dengar masalah dia apa. Orang nak tanya bagaimana boleh tolong selesaikan, meringankan sedikit beban hidup kami (rakyat). Itu yang mereka minta,” katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Isu harga barang patut dibahaskan, bukan di kamar khas




Tambahnya, beliau turun padang, bertemu rakyat dan ada di antara mereka sudah berminggu-minggu tidak membeli sayur, tidak makan ayam.

Justeru, katanya, adalah tidak wajar jika mengatakan isu tersebut boleh dibincangkan namun secara terhad.

“Sebab itu saya ambil peluang ini untuk menekankan hal sedemikian iaitu Parlimen lemah kalau tidak boleh memberikan ruang untuk membahaskan isu yang mendesak, hari ini, yang menekan rakyat.

“Janganlah tunggu lagi sampai timbul demonstrasi besar-besaran. Kalau boleh, kita sedang fikirkan kemungkinan itu,” ujarnya.

Terdahulu, Datuk Seri Salahuddin Ayub (PH - Pulai) meminta usul tersebut dibahaskan sebelum Timbalan Speaker, Datuk Mohd Rashid Hasnon membenarkan usul tersebut dibincangkan di Kamar Khas pada Khamis.