Parlimen jaminan ketelusan pelantikan jawatan utama perkhidmatan awam

Hasil siasatan JPK JUPA mendapati pelantikan individu yang pernah terlibat dalam politik menjadi Ketua Pesuruhjaya SPRM amat berisiko kerana mempunyai elemen konflik berkepentingan

JPK JUPA berperanan sebagai badan yang memberi jaminan kepada masyarakat tentang pelantikan individu kepada jawatan utama kerajaan telus, terbuka dan tidak mempunyai kepentingan politik. - Gambar fail/BERNAMA | Astro Awani
JAWATANKUASA Pilihan Khas melantik Jawatan Utama Perkhidmatan Awam (JPK JUPA) merupakan salah sebuah enam jawatankuasa terawal diumumkan oleh Dewan Rakyat selepas pembukaan Parlimen ke-14.

JPK JUPA berperanan sebagai badan yang memberi jaminan kepada masyarakat tentang pelantikan individu kepada jawatan utama kerajaan telus, terbuka dan tidak mempunyai kepentingan politik. Ia selari dengan janji 16, Buku Harapan iaitu mengangkat martabat Parlimen dalam proses membuat keputusan melantik jawatan penting kerajaan untuk mengelakkan salah guna kuasa badan eksekutif.

Berdasarkan laporan yang telah dibentangkan JPK JUPA pada 16 Oktober 2019 di Dewan Rakyat, jawatankuasa ini telah bermesyuarat sebanyak sembilan kali untuk meneliti pelantikan utama individu kepada jawatan utama pentadbiran awam seperti pelantikan Ketua Polis Negara dan ahli Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Selain menjalankan prosedur tersebut, JPK JUPA telah mengadakan sesi libat urus dengan beberapa badan masyarakat untuk menambah baik perjalanan prosiding mereka. Antara badan yang telah bertemu dengan jawatankuasa ini ialah Majlis Peguam Negara dan Bersih 2.0.

Sesi libat urus ini telah membuktikan JPK JUPA terbuka kepada orang awam untuk memberi pandangan, menambah keberkesanan fungsi mereka dalam meneliti individu yang akan menjawat jawatan penting kerajaan.

Kuasa memantau atau melantik?

Tugas utama JPK JUPA ialah memantau (oversight) setiap proses pelantikan jawatan penting, termasuk menjalankan prosiding kepada calon. Selepas prosiding, JPK JUPA akan mengeluarkan syor mengenai calon kepada menteri sama ada pelantikan individu tersebut memenuhi mandat dan merit yang ditetapkan.

Pandangan menyatakan JPK JUPA perlu diberi kuasa untuk melantik individu bagi jawatan penting adalah tidak benar sama sekali. Kerangka JPK JUPA lebih luas daripada kuasa melantik, iaitu menjadi sebuah badan mewakili rakyat untuk memastikan tiada salah guna kuasa daripada jemaah menteri dalam proses tersebut.

Sekiranya jemaah menteri atau individu dalam jawatan utama kerajaan mendahului JPK JUPA, maka mereka telah melanggar kedaulatan Parlimen sebagai sebuah institusi yang penting dalam perelmbagaan persekutuan dan membelakangi kepentingan rakyat. Meskipun prosedur ini tidak dimasukkan lagi dalam mana-mana akta, namun amalan jawatankuasa ini penting menyemak keputusan lantikan secara bebas dan berkesan.

Kontroversi pelantikan pengerusi SPRM

Meskipun JPK JUPA telah menjalankan fungsinya dengan baik dalam tempoh setahun, namun badan Parlimen ini tidak lari dengan isu pelantikan individu yang mempunyai kepentingan awam, seperti Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencgeha Rasuah Malaysia (SPRM) pada bulan Jun 2019.

Pelantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya telah mengundang pelbagai persepsi negatif. Kes ini merupakan satu cabaran ke atas fungsi JPK JUPA kerana ia melibatkan bekas ahli politik yang dilantik menjadi pengerusi SPRM tanpa dimaklumkan kepada jawatankuasa. Sekiranya JPK JUPA tidak berjaya menjalankan fungsinya dalam kes ini, maka reputasi mereka akan terjejas.

Hasil siasatan JPK JUPA mendapati pelantikan individu yang pernah terlibat dalam politik menjadi Ketua Pesuruhjaya SPRM amat berisiko kerana mempunyai elemen konflik berkepentingan, meskipun dari segi perundangan, mengikut Seksyen 5, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) pelantikan Latheefa Koya sah.

Latheefa Koya telah diberi ruang untuk memperjelaskan kebimbangan yang dibawa JPK JUPA. Beliau telah menzahirkan jaminan kepada jawatankuasa untuk menjalankan tugas secara profesional berdasarkan Seksyen 7, Akta 694 sebagai Ketua Persuruhjaya SPRM.

Beliau juga turut membuat kenyataan di hadapan JPK JUPA untuk tidak terlibat dengan siasatan yang boleh menimbulkan konflik berkepentingan yang boleh menjatuhkan integritinya.

Dalam siasatan tersebut, JPK JUPA memberikan komitmen sepenuhnya untuk memantau tugas pengerusi SPRM dengan lebih rapat. Prinsip ini diguna pakai kepada semua individu yang dilantik dalam jawatan penting kerajaan sebagai satu jaminan kepada rakyat bahawa lantikan ini membawa implikasi yang baik kepada integriti kerajaan.

Maka, segala persepsi dan keraguan ke atas pengerusi SPRM dapat diselesaikan selepas JPK JUPA yang dianggotai ahli parlimen pelbagai parti berpuas hati dengan keterangan diberikan SPRM.

JPK JUPA untuk masa depan

Kita harus akui reformasi Parlimen yang dilakukan ,seperti penubuhan JPK JUPA, adalah untuk mempertahankan integriti pentadbiran negara, bukan untuk mempertahankan pemimpin atau individu tertentu.

Pembaharuan ini juga telah mengimbangi kuasa perdana menteri yang selama ini boleh membuat keputusan lantikan jawatan utama pentadbiran awam sendiri tanpa melalui prosedur semak dan imbang daripada Parlimen.

Untuk menambah baik fungsi JPK JUPA, adalah lebih baik sekiranya pihak pentadbiran awam dan menteri memahami proses baharu ini. Menteri dan kementerian perlu terbuka dan telus dalam mendedahkan segala informasi mengenai proses melantik individu dalam jawatan utama kepada JPK JUPA. Kerjasama ini dapat membantu JPK JUPA melakukan prosiding dengan lebih berkesan ke atas calon.

JPK JUPA perlu menambah baik proses pendengaran pra-pelantikan. Calon yang disenarikan untuk jawatan tersebut perlu melalui pendengaran pra-pelantikan sebelum menteri membuat pengumuman lantikan. Perkara ini lebih berkesan, berstruktur dan terbuka berbanding fungsi JPK JUPA sekarang yang hanya melakukan prosiding selepas individu tersebut dilantik oleh kerajaan.

Aspek paling penting dalam JPK JUPA ialah integriti dan kebebasan badan ini daripada pengaruh politik kepartian. Perkara ini dapat dikesan apabila Ketua Pembangkang Dewan Rakyat menggunakan ruang JPK JUPA bertanyakan soalan kepada Latheefa Koya tentang tindakan SPRM menamakan senarai 41 penama Umno yang menerima wang daripada bekas perdana menteri.

Pertanyaan seperti itu tidak sesuai dibangkitkan ketika prosiding JPK JUPA kerana apa yang dilihat dalam proses prosiding ialah merit dan kemampuan calon itu sendiri, bukan ideologi dan parti.

Oleh itu, JPK JUPA sendiri perlu memperbaiki kualiti pertanyaan ketika prosiding. Kualiti soalan akan menentukan keberkesanan JPK JUPA dalam sesuatu prosiding.

Dewan Undangan Negeri (DUN) juga mempunyai tanggungjawab untuk menubuhkan JPK JUPA dalam menyemak ketelusan individu yang dilantik oleh kerajaan negeri untuk jawatan utama kerajaan bagi memberi jaminan kepada masyarakat bahawa proses tersebut tidak mempunyai konflik berkepentingan yang boleh menjejaskan integriti kerajaan negeri.



* Fakhrurrazi Rashid ialah Koordinator Program Research For Social Advancement (REFSA).

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.