KUALA LUMPUR: Kadar kebolehpasaran graduan menyaksikan penurunan sebanyak 1.8 peratus iaitu dari 86.2 peratus pada 2019 kepada 84.4 peratus pada tahun 2020.

Menurut Menteri  Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad, angka itu diperolehi hasil Kajian Pengesanan Graduan yang dilaksanakan kementeriannya sewaktu konvokesyen.

"Bagi kadar kebolehpasaran graduan pada tahun 2021 pula, keputusan hanya akan diperoleh pada bulan Februari tahun 2022," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) mengenai  peratus kadar kebolehpasaran graduan yang tamat pengajian pada tahun 2019 sehingga tahun 2021 sama ada berlaku sebarang penurunan ketara.

Mengulas lanjut, Noraini turut menyenaraikan beberapa langkah yang dilaksanakan oleh kementeriannya untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan.

“Pertama, melaksanakan program latihan berbentuk reskilling dan upskilling. Melalui usaha ini, graduan universiti awam, institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), politeknik dan kolej komuniti bagi tahun 2019, 2020 dan 2021 yang masih belum bekerja ditawarkan tempat untuk mengikuti program-program latihan berbentuk reskilling dan upskilling.

"Kedua, melaksanakan program intervensi kebolehpasaran graduan. Program intervensi ini memberi nilai tambah kepada graduan yang dikenal pasti rendah kadar kebolehpasarannya iaitu CGPA 3.3 ke bawah atau daripada program-program pengajian yang rendah kadar kebolehpasaran iaitu 50 peratus ke bawah," jelasnya.

Menurutnya lagi, antara langkah yang lain ialah melaksanakan Program Latihan Industri Berstruktur (SIP) serta menyemak dan menambah baik secara berkala kandungan modul dan program akademik yang ditawarkan.