KUALA LUMPUR: Negara memerlukan satu Dana Deep-Tech Nasional yang khusus dan berfokus kepada pembangunan teknologi strategik seperti aeroangkasa, kecerdasan buatan (AI) industri, robotik dan automasi bagi memastikan Malaysia tidak terus ketinggalan dalam persaingan ekonomi global.
Ahli Dewan Negara, Datuk C Sivaraj berkata, dana itu mesti cukup besar untuk membawa inovasi daripada peringkat idea dan prototaip sehingga ke peringkat pengkomersialan memandangkan inovasi akan 'mati' di atas kertas tanpa pembiayaan yang berani.
Advertisement
Beliau berkata Malaysia sebenarnya mempunyai asas kukuh termasuk penglibatan dalam rantaian bekalan aeroangkasa global bersama syarikat seperti Airbus dan Boeing, selain kewujudan agensi angkasa serta tenaga jurutera aeroangkasa tempatan.
"Namun, Malaysia masih belum menyusun kekuatan tersebut sebagai satu ekosistem deep-tech yang agresif dan terselaras, sebaliknya masih bergantung kepada pelaburan asing dalam sektor pembuatan konvensional," katanya di Dewan Negara, di sini pada Rabu.
Merujuk kepada India, Sivaraj berkata langkah negara itu meliberalisasikan sektor angkasa pada 2020 serta membuka penyertaan swasta melalui reformasi dasar, termasuk penubuhan Indian National Space Promotion and Authorization Center (IN-SPACe), terbukti mempercepatkan pertumbuhan ekosistem teknologi angkasa secara signifikan.
Beliau berkata, hasil dasar berkenaan menyaksikan lebih 300 syarikat pemula (startup) teknologi angkasa dilahirkan setiap tahun, sekali gus merancakkan pembangunan satelit kecil, teknologi pelancaran dan sistem komunikasi angkasa.
"Ketika ini, industri angkasa India dianggarkan bernilai antara RM31 bilion hingga RM39 bilion dan disasarkan meningkat kepada sekitar RM156 bilion menjelang 2040.
"India bukan negara paling kaya di dunia. Tetapi mereka mempunyai dasar yang konsisten dan keberanian membuka ruang kepada inovasi swasta," tambahnya lagi.
Namun, katanya, Malaysia masih belum menyusun kekuatan tersebut sebagai satu ekosistem deep-tech yang agresif dan terselaras, sebaliknya masih bergantung kepada pelaburan asing dalam sektor pembuatan konvensional.
"Jika kita mahu keluar daripada perangkap pendapatan sederhana, kita mesti berani melabur dalam teknologi bernilai tinggi. Teknologi tinggi tidak lahir secara spontan.
"Ia lahir daripada sistem pendidikan yang menghargai STEM, TVET yang dihormati dan dasar yang membuka ruang kepada inovasi swasta," ujarnya.
Sehubungan itu, Sivaraj mencadangkan beberapa langkah konkrit termasuk:
Menubuhkan Dana Deep-Tech Nasional yang mencukupi untuk menyokong pembangunan idea, prototaip dan pengkomersialan.
Membuka akses kemudahan teknikal kerajaan seperti makmal dan pusat ujian kepada startup tempatan berpotensi.
Mengintegrasikan universiti dan institusi TVET secara langsung dengan industri aeroangkasa dan teknologi tinggi.
Menyediakan insentif cukai serta geran padanan bagi menggalakkan pelaburan swasta dalam sektor berteknologi tinggi.
Menggalakkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat berkaitan kerajaan melihat pelaburan dalam startup teknologi tempatan sebagai pelaburan strategik negara.
Beliau menegaskan, Malaysia perlu membuat pilihan sama ada mahu terus menjadi pengguna teknologi atau bersedia menjadi pencipta teknologi.