KUALA LUMPUR: Malaysia akan terus berunding dengan kerajaan Singapura berhubung pembukaan semula sempadan negara secara beransur-ansur.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, ia termasuk cadangan pergerakan rentas sempadan secara harian.

"Namun demikian, adalah menjadi keutamaan Kerajaan untuk terus berunding dengan pihak Singapura berkenaan pembukaan semula sempadan secara beransur-ansur, bergantung kepada situasi kesihatan semasa.

"Ini termasuklah cadangan pergerakan rentas sempadan secara harian yang dikenali sebagai Daily Commuting
Arrangement
(DCA)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulangan Perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja Kementerian Luar di Dewan Rakyat, pada Khamis.

Pun begitu, Saifuddin memaklumkan perkara itu masih lagi di peringkat cadangan dan banyak lagi perkara yang perlu diperhalusi kerana melibatkan soal keselamatan dan kesihatan rakyat.

Menyentuh isu yang sama, Ahli Parlimen Indera Mahkota itu memberitahu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatannya di Singapura berhubung isu terbabit.

"Jadi kita berdoa agar perkara ini dapat diselasaikan secepat mungkin kerana kedua-dua pihak saling memerlukan pembukaan sempadan ini.

"Jika ini berlaku ia maka saya fikir ia meneroka sempadan Malaysia dengan negara-negara lain seperti Thailand dan sebagainya," tambahnya.

Dalam perkembangan berasingan beliau memberitahu, kerajaan bersetuju dengan cadangan Wisma Putra agar Parlimen mewujudkan jawankuasa khas pemilih untuk hal ehwal antarabangsa.



*Jom kita pantau apa Ahli Parlimen buat pada 13 hingga 15 September; 20 hingga 23 September; 27 hingga 30 September; 4 hingga 7 Oktober; dan 10 hingga 11 Oktober di sini.