Skip to main content

Malaysia

Parlimen: Semakan skala bayaran jurutera hampir dimuktamad - Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 29 Jun -- Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan ketika sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan sempena Mesyuarat Kedua, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini.
Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan ketika sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan sempena Mesyuarat Kedua, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang memuktamadkan semakan semula Skala Bayaran Jurutera yang diwartakan pada 1998, bagi memastikan kadar yuran perkhidmatan profesional itu lebih selaras dengan realiti ekonomi semasa dan kos operasi firma perunding kejuruteraan.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata draf akhir pindaan peraturan berkaitan skala bayaran itu telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara untuk semakan undang-undang sebelum boleh diwartakan di bawah Akta Pendaftaran Jurutera 1967.

Beliau berkata pindaan itu menukarkan struktur kadar maksimum sedia ada kepada penanda aras kadar minimum baharu bagi memastikan imbuhan profesional jurutera setanding dengan bidang profesional binaan lain.

“Berdasarkan simulasi teknikal, perubahan ini dianggarkan menyelaras kenaikan yuran perunding sekitar 9.23 peratus bagi sesuatu projek pembangunan fizikal yang melibatkan unjuran kos kerja bernilai RM200 juta,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan asal Datuk Yusuf Abd. Wahab (GPS-Tanjong Manis) berhubung status semakan semula yuran perunding untuk jurutera atau Engineers Scale of Fees sama ada kadar yuran baharu wajib dipatuhi oleh semua agensi pelaksana untuk projek-projek kerajaan.

Ahmad berkata selepas diwartakan, skala bayaran baharu itu wajib dipatuhi semua jurutera profesional dan firma perunding kejuruteraan (ECP) yang beroperasi dalam sektor awam dan swasta.

Beliau berkata langkah itu penting bagi memelihara integriti profesion kejuruteraan, mengekang amalan persaingan harga yang tidak sihat serta memastikan kualiti reka bentuk dan keselamatan infrastruktur tidak dikompromi.

Menjawab soalan tambahan Yusuf mengenai kecukupan tenaga profesional kejuruteraan negara bagi menyokong pelaksanaan projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, Ahmad berkata kerajaan berpandangan jumlah tenaga profesional ketika ini adalah mencukupi.

Beliau berkata sehingga kini terdapat 230,040 jurutera siswazah, 19,750 teknologis kejuruteraan, 8,484 pemeriksa tapak, 9,857 jurutera profesional, 8,649 jurutera profesional dengan perakuan amalan serta 29 pemeriksa bertauliah, menjadikan keseluruhan 276,809 individu berdaftar dalam profesion itu.

“Namun, jika kadar yuran tidak setara dengan keadaan semasa, kita khuatir pada masa depan ia akan menjejaskan kelangsungan industri perunding kejuruteraan dan menyebabkan kehilangan kepakaran,” katanya.

Beliau berkata semakan kadar yuran itu juga mengambil kira peningkatan komitmen yang perlu dipenuhi firma perunding, termasuk penggunaan Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) serta pematuhan terhadap aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement