KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi akan memperkenalkan 'sistem 'single window and single offer' untuk mengurus permohonan melanjutkan pengajian bagi program matrikulasi, asasi dan Tingkatan Enam.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, berkata, pelaksanaan sistem baharu itu bertujuan menyelaras semua platform permohonan sedia ada di bawah satu mekanisme tunggal, sekali gus mengelakkan pertindihan tawaran kepada pelajar.
Advertisement
Beliau menjelaskan, sebelum ini permohonan dibuat menerusi sistem single window namun tiada mekanisme single offer, menyebabkan ada pelajar menerima lebih daripada satu tawaran pengajian.
"Dengan pelaksanaan sistem ini, pelajar yang memohon hanya akan menerima satu tawaran berdasarkan keputusan terbaik dan sistem meritokrasi yang ditetapkan.
"Tiada lagi isu pelajar mendapat dua tawaran berbeza," katanya.
Beliau berkata demikian kepada soalan tambahan Azli Yusof (PH-Shah Alam) mengenai cadangan menyeragamkan kurikulum dan standard penilaian antara program matrikulasi, asasi dan Tingkatan Enam, pada sesi lisan di Dewan Rakyat, di sini pada Rabu.
Menurut Zambry lagu, dari segi mekanisme penilaian dan penggredan, tiada perubahan akan dibuat kerana sistem sedia ada akan terus dikekalkan.
Katanya, penilaian Tingkatan Enam melalui Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) akan terus dikendalikan Majlis Peperiksaan Malaysia, manakala penilaian Program Matrikulasi juga kekal berasaskan PNGK dan dipantau Lembaga Penasihat Akademik Program Matrikulasi.
"Begitu juga dengan program asasi, mekanisme penilaiannya kekal seperti sedia ada dan dikendalikan oleh lembaga yang dilantik.
"Sistem meritokrasi terus menjadi asas utama dalam pemilihan," katanya.
Beliau menegaskan, penyelarasan melalui sistem 'single window and single offer' itu akan memastikan proses kemasukan ke universiti awam lebih telus, adil dan seragam tanpa menjejaskan standard penilaian akademik yang ditetapkan sebelum ini.
Sementara itu, Zambry menjangkakan, pengambilan bagi program matrikulasi yang diambil alih daripada Kementerian Pendidikan (KPM) baru-baru ini, akan diteruskan menjelang tahun depan.
Ini kerana, katanya, terdapat pelbagai isu berbangkit, termasuk perihal perundangan yang perlu diselesaikan terlebih dahulu, sebelum proses pengambilan pelajar boleh diteruskan semula.
"Kita tak dapat membuat jangkaan secara tepat, namun ada dua fasa iaitu Perancangan dan Persediaan, mulai sepanjang tahun ini, diikuti Fasa II - Pelaksanaan Pengoperasian program matrikulasi, dijangka bermula pada 2027," ujarnya.