KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) telah mengeluarkan Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) baharu berkait pertukaran guru, sekali gus menggantikan SPI yang dikeluarkan pada tahun 1975 dan 1978.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin berkata ia bagi memastikan urusan pertukaran mereka dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan berkesan.

"Berdasarkan kepada garis panduan itu, KPM menetapkan tiga prinsip asas pertukaran iaitu kekosongan jawatan, keperluan opsyen dan kepentingan serta keperluan perkhidmatan.

"Dalam hal ini, permohonan pertukaran boleh dibuat berdasarkan kepada beberapa kategori iaitu kesihatan, keselamatan, mengikut pasangan dan lain-lain," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Seri Tiong King Sing (GPS-Bintulu) yang ingin tahu dasar terkini kerajaan dalam usaha penempatan semula guru berasal dari Sarawak yang bertugas di Semenanjung supaya dapat ditempatkan semula di Sarawak.

Mengulas lanjut, Radzi berkata SPI KPM Bil 7/2021: Pelaksanaan Permohonan Pertukaran Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) di Sekolah dan Kolej Vokasional yang dikeluarkan pada 23 September lalu akan berkuat kuasa pada 1 Januari depan.

SPI sebelum ini yang dimansuhkan adalah SPI Bil 3/75: Panduan Bagi Pertukaran Guru-Guru dan SPI Bil 1/1978: Tarikh Bagi Pertukaran Guru-Guru.

Beliau memaklumkan, SPI itu turut menyertakan garis panduan sebagai rujukan kepada pengetua atau guru besar dan PPP yang berkhidmat di sekolah serta kolej vokasional di bawah KPM.