KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran menyediakan serta mewajibkan latihan khusus berkaitan penjagaan anak-anak autisme kepada guru-guru atau penjaga pusat penjagaan kanak-kanak kurang upaya (OKU).

Ia susulan kes dera seorang kanak-kanak autisme yang disyaki membabitkan pengasuh di sebuah pusat jagaan di Ampang baru-baru ini.

Ahli Dewan Negara mewakili OKU, Senator Datuk Ras Adiba Radzi berkata, sehingga kini Malaysia tidak mempunyai kursus yang diwajibkan untuk pusat autisme tetapi hanya untuk taska.

"Saya berharap agar Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dapat menyediakan dan mewajibkan latihan khusus untuk mereka mengikuti kursus asas PERMATA di Pusat Genius Kurnia. Pada saya inilah masalah untuk kita pastikan petugas mempunyai keupayaan menjaga anak-anak autisme," katanya pada sidang media di Parlimen di sini, pada Isnin.

Pada Jumaat lalu, polis menerima laporan daripada bapa kanak-kanak itu selepas menemukan kesan lebam pada bahagian bahu sebelah kiri dan di kedua-dua bahagian mata.

Dalam laporan itu, beliau dimaklumkan oleh seorang guru di pusat asuhan yang mendakwa mangsa menghantukkan kepala di meja atas alasan tidak mahu makan.

Bagaimanapun pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian mendapati suspek bertindak kasar apabila mangsa mengelak untuk makan.

Bertindak atas laporan itu, polis menahan seorang pengasuh wanita warga asing yang berusia 51 tahun.

Dalam pada itu Senator Ras Adiba turut menyarankan kerajaan untuk sediakan latihan tahap tinggi untuk penjagaan anak autism iaitu Board Certified Behavior Analyst yang dikelolakan oleh badan profesional Amerika Syarikat.

“Kerajaan mesti wajibkan petugas-petugas mengambil Kursus Sijil Pendidikan Awal Kanak-Kanak (Autisme) iaitu Sijil Kemahiran Malaysia Tiga (SKM 3) agar dapat menyokong anak-anak istimewa ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Ras Adiba menyifatkan insiden berkenaan sebagai amat menyedihkan dan berharap pemantauan dan penguatkuasaan terhadap pusat-pusat jagaan diperketatkan.

Selain itu, beliau turut meminta kepada mana-mana guru atau penjaga kanak-kanak OKU yang tidak mempunyai tahap kesabaran yang tinggi agar mengundur diri dan memberi peluang kepada guru lain.

"Saya ingin beritahu kepada mereka di luar sana, kalau tidak ada kesabaran, tak ada rasa simpati, jangan jadi cikgu yang menjaga anak-anak istimewa kerana mereka memerlukan sokongan kita," katanya.