Bimbang ahli dan pemimpin di peringkat kawasan keliru dengan konsep Tahaluf Siyasi yang dilaksanakan PAS, perwakilan Perlis menggesa anggota Dewan Ulama dan Majlis Syura Ulama supaya lebih kerap turun padang menjelaskan perkara berkenaan.

Wakil PAS Perlis, Shukri Ramli berkata terdapat pemimpin parti itu di peringkat kawasan dan cawangan yang masih tidak faham konsep Tahaluf Siyasi yang telah dipersetujui oleh Majlis Syura Ulama.

Shukri yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang itu berkata akibat tidak faham konsep Tahaluf Siyasi itu ramai pemimpin PAS di kawasan dan cawangan mudah terpengaruh dengan dakyah parti lawan.

"Dalam perlembagaan parti pun sudah disebutkan dengan jelas bahawa menjadi tugas majlis syura untuk memberi penerangan mengenai dasar-dasar yang telah dipersetujui.

"Pemimpin di peringkat kawasan dan cawangan perlu diperjelaskan tentang tahaluf siyasi ini supaya mereka mudah memberi penjelasan jika ada kekeliruan," katanya ketika berucap membahaskan ucapan dasar Presiden di Muktamar Tahunan PAS ke-59 di Stadium Melawati, di sini, hari ini.

Shukri berkata sejak PAS mengadakan muafakat politik bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, pihak lawan sering memainkan isu parti Islam itu diperkudakan sekutu mereka.

Dalam Muktamar Dewan Pemuda dan Ulama yang baru-baru ini, usul supaya Tahaluf Siyasi dalam Pakatan Rakyat diluluskan untuk dibawa ke Muktamar PAS Pusat yang sedang berlangsung.

Ia juga rentetan resolusi Multaqa Majlis Syura PAS baru-baru ini yang menyarankan agar Dewan Harian PAS mengkaji semula Tahaluf Siyasi dalam Pakatan Rakyat terutama bersama PKR.