KUALA LUMPUR: Pas memberi jaminan akan mempertahankan kedudukan, martabat dan integriti Lembaga Tabung Haji (TH), selain menggesa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) baharu bagi meneliti pentadbiran serta pengurusan institusi itu dari 2018 hingga kini.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata langkah itu perlu bagi memperhalusi dapatan Laporan Suruhanjaya Diraja (RCI), termasuk perkara yang didakwanya menimbulkan percanggahan dengan hasil siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Beliau berkata Pas melihat isu mempertahankan TH sebagai satu perjuangan penting kerana institusi berkenaan berkait rapat dengan kepentingan umat Islam dan orang Melayu di negara ini.
"Kita menganggap perjuangan untuk mempertahankan martabat dan integriti TH ini ibarat kita perlu berjuang untuk mempertahankan Baitul Maqdis.
"Kalau di dunia ini Baitul Maqdis, di Malaysia ini ibaratnya adalah TH itu sendiri," katanya selepas ditemui selepas program Musyawarah Nasional 'Realiti dan Persepsi: Jangan Mempolitikkan Tabung Haji', di sini, hari ini.
Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) turut membangkitkan isu Tabung Haji Plantation (THP), dengan mendakwa terdapat percanggahan antara surat Bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman kepada bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki pada 2021 mengenai beberapa pembelian saham dan dapatan RCI.
Menurut Takiyuddin, beliau sendiri melihat surat daripada Azam kepada Abu Talib pada Mei 2021 yang menyatakan pembelian saham dalam syarikat tertentu itu teratur dan tiada kesalahan dikesan, manakala tindakan Timbalan Pendakwa Raya untuk menghentikan siasatan atau tiada tindakan lanjut (NFA) telah diambil.
Bagaimanapun, katanya, RCI mencadangkan 14 syarikat termasuk THP dan Tabung Haji Indonesia Plantation (THIP) diaudit secara forensik.
"Jadi itu satu percanggahan jelas. Kalau di dalam mahkamah, bila ada dua keterangan yang bercanggah terhadap satu-satu orang yang dituduh, maka dipanggil 'benefit of the doubt'.
"Sekarang ini dua keadaan ini. SPRM kata TH Plantation tak ada masalah, tapi RCI kata TH Plantation ini perlu dibuat audit forensik," katanya.
Selain RCI baharu, Takiyuddin berpandangan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen juga boleh meneliti semula laporan berkenaan.
Beliau berkata PAC boleh memanggil saksi berkaitan bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai perkara yang dibangkitkan dalam laporan RCI.
Selai itu, Takiyuddin berkata PN juga akan mengemukakan usul persendirian berhubung cadangan penubuhan RCI baharu itu, selain mendesak kerajaan mengambil tindakan sewajarnya.