Pas menyambut baik pelantikan bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Seri Dr Ronald Kiandee sebagai pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang baharu.

Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hasan berkata parti itu menyokong penuh langkah kerajaan memilih pembangkang mengetuai jawatankuasa tersebut dan akan turut menghantar wakil dalam jawatankuasa PAC.

"Itu (pelantikan) mood yang baik. Kita menyokong langkah kerajaan yang memberikan jawatan pengerusi PAC kepada pembangkang.

"Kalau penggal lepas, kita lihat pembangkang diberikan jawatan timbalan pengerusi PAC iaitu bekas YB (Yang Berhormat) Kepong (Dr Tan Seng Giaw). Pas juga akan menghantar wakil dalam jawatankuasa PAC," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Dewan Rakyat hari ini bersetuju memilih Kiandee yang juga Anggota Parlimen Beluran dan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh sebagai pengerusi dan timbalan pengerusi PAC bagi Parlimen ke-14.

-- BERNAMA