Pasangan dera bayi mungkin alami tekanan perasaan
Dewi Nur Harasha Alias
Februari 17, 2018 09:51 MYT
Februari 17, 2018 09:51 MYT
Pasangan suami isteri berusia 22 tahun yang direman kerana disyaki mendera bayi mereka yang berusia 46 hari hingga mati mungkin mengalami tekanan perasaan.
Menceritakan lebih lanjut, datuk bayi malang yang dikenali sebagai Saidon, 53 tahun itu berkata, anak lelaki dan menantunya mungkin berubah sikap selepas kematian ahli keluarga akibat kanser Disember lalu.
"Sebelum ini anak sulung (pasangan) terbabit arwah isteri saya yang jaga, yang kedua (mangsa) ini menantu yang jaga.
"Sepanjang menjaga anak kedua ini pun dia (suspek) tidak pernah menceritakan jika dia ada sebarang masalah tetapi ia mungkin ada kaitan dengan kematian isteri saya dua bulan lalu,” katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini pada Sabtu.
Saidon turut menafikan anak lelakinya seorang yang panas baran dan suspek tidak pernah berkelakuan sedemikian terhadap anak lelaki sulung mereka.
Mengulas lanjut, Saidon yang tinggal serumah dengan anak dan menantunya itu berkata dia pernah mendengar tangisan bayi namun tidak mengesyaki apa-apa.
“Memang ada dengar tangisan bayi tetapi saya sangka ia hanya tangisan biasa bagi bayi yang berusia 46 hari," katanya lagi.
Mengakui terkejut dengan laporan bedah siasat berhubung kejadian menimpa cucunya, Saidon berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi dan memberi ruang kepada mereka berdepan dengan detik sukar ini.