Pasangan suami isteri di Besut derita sakit kronik

Mohd Norhisham (dua dari kanan) di samping anak dan isterinya ketika ditemui oleh Persatuan Kebajikan Fisabilillah Negeri Terengganu di kediamannya di Kampung Bukit Jeruk, Jertih di Besut. - Gambar fail/Ihsan Fisabilillah Terengganu
JERTIH: Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itulah realiti kehidupan Mohd Nor Hisham Ahamed Anyudin yang berdepan pelbagai masalah kesihatan termasuk obesiti kronik sejak 11 tahun lepas, hingga mengubah nasib hidupnya dan keluarga.
Ringkasan AI
- Mohd Nor Hisham Ahamed Anyudin menghadapi pelbagai masalah kesihatan termasuk obesiti kronik dan masalah saraf sejak 11 tahun lalu, menyebabkan kehidupannya dan keluarganya berubah secara mendadak.
- Isterinya, Zuriana Ramli, telah kehilangan penglihatan sejak tahun 2022 dan terpaksa memotong jari kaki akibat penyakit kencing manis kronik, menambah lagi beban keluarga yang semakin meresahkan.
- Meskipun menerima bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Maidam, keluarga tersebut masih menghadapi kesukaran kewangan disebabkan kos rawatan yang tinggi, dan mereka menerima sumbangan dari orang ramai untuk membantu meringankan beban keluarga.
"Pada tahun sama tiba-tiba saya terkena strok haba menyebabkan setiap kali berdiri penglihatan saya menjadi kosong seperti kita memandang ke langit tetapi pandangan kembali normal sekiranya berbaring," katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya di Kampung Bukit Jeruk, Jabi, di sini baru-baru ini.
Masalah kesihatan dialami lelaki berusia 45 tahun itu semakin teruk apabila pada 2018 wajah dan kepalanya pula mula membengkak secara perlahan dikuti betis kiri yang turut membesar menyerupai pesakit penyakit kaki gajah (elephantiasis), membuatkan dia hanya mampu terlantar.
Ketika itu meskipun menghidapi penyakit serius dan tidak berselera makan selama berbulan-bulan berat badannya meningkat secara mendadak hingga mencecah 159 kilogram (kg) berbanding berat asal 84 kg.
"Kini, satu demi satu penyakit hilang dan kaki saya sudah kurang membengkak serta penglihatan kembali normal. Namun, berat badan masih sekitar 120 kg dan masalah saraf belum sembuh selain kulit melecet di bahagian kaki hingga terpaksa menggunakan tongkat untuk bergerak," katanya.
Bapa kepada dua anak itu berkata keadaan itu menyebabkan dia tidak mampu melakukan sebarang pekerjaan sedangkan sebelum ini seorang yang aktif melakukan pelbagai kerja untuk menyara keluarga, termasuk membaiki motosikal, berniaga air tebu dan berkebun sayur.
Mohd Nor Hisham berkata kehidupannya sekeluarga semakin meresahkan apabila isterinya juga sering ke hospital untuk mendapatkan rawatan penyakit yang dihidapinya.
Bagaimanapun, dia bersyukur kerana orang sekeliling seperti pemimpin setempat dan saudara-mara sering menghulurkan bantuan wang ringgit mahupun tenaga, termasuk untuk anak-anaknya Muhammad Asri, 15, dan Nur Syahadah, 13, yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Renek di sini.
"Kedua-dua anak saya tinggal di asrama. Kalau ikutkan mereka mahu terus berada di rumah kerana ingin membantu saya dan isteri tetapi jarak antara rumah dan sekolah agak jauh. Saya juga bimbang mereka tidak dapat fokus pada pelajaran, jadi saya suruh mereka tinggal di asrama," katanya.
Meskipun pasangan itu menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), adakalanya wang bantuan yang diterima tidak mencukupi kerana terpaksa membeli ubat dan menanggung kos berulang-alik ke hospital.
Sehubungan itu, orang ramai yang ingin membantu meringankan beban keluarga tersebut boleh menyumbang ke akaun Bank Islam milik Mohd Nor Hisham (nombor akaun: 13-035-02-063708-9).
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


