TEHRAN: Tokoh veteran politik dan arkitek keselamatan utama Iran, Ali Larijani, disahkan terbunuh dalam serangan udara Israel di Tehran, sekali gus menandakan kehilangan besar kepada kepimpinan tertinggi republik itu.
Ali Larijani, yang berkhidmat sebagai Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Tertinggi (SNSC), merupakan antara individu paling berpengaruh dalam merangka strategi keselamatan negara terutama ketika konflik Iran dengan Amerika Syarikat dan Israel memuncak.
Advertisement
Dilahirkan pada tahun 1958 di Najaf, Iraq, Ali Larijani berasal daripada dinasti keluarga yang sangat berpengaruh dalam struktur kepimpinan Republik Islam tersebut.
Beliau memiliki latar belakang akademik yang unik berbanding rakan sejawatnya, dengan memegang ijazah dalam bidang matematik dan sains komputer sebelum memperoleh ijazah kedoktoran (PhD) dalam falsafah Barat yang memfokuskan kepada pemikiran Immanuel Kant.
Kerjaya awam beliau bermula dengan menyertai Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) selepas Revolusi 1979, sebelum menjawat pelbagai posisi penting termasuk Menteri Kebudayaan dan Ketua Penyiaran Negara (IRIB).
Ali Larijani juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Perunding Nuklear Iran (2005–2007) dan memegang jawatan Speaker Parlimen selama tiga penggal berturut-turut (2008–2020), di mana beliau menjadi watak utama dalam memastikan kelulusan perjanjian nuklear 2015 (JCPOA).
Sekembalinya beliau menerajui SNSC pada Ogos tahun lalu, Ali Larijani muncul sebagai pengendali utama keselamatan negara ketika fasa peperangan.
Kehilangan beliau dalam serangan udara Israel di Tehran disifatkan sebagai tamparan hebat kepada rantaian pemerintahan tertinggi Iran, memandangkan kepakaran diplomasi dan strategi ketenteraan yang dimilikinya sukar dicari ganti dalam tempoh krisis ini.