NATIONAL
Pasangan suami isteri mengaku tidak bersalah sebabkan bayi cedera parah

Tertuduh Nur Khairunnisa (dua, kanan) dan Muhamad Nor Azim (kiri) ketika dibawa ke mahkamah untuk pendakwaan. -Sinar Harian
ALOR GAJAH: Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Gajah di sini, atas dakwaan melakukan pengabaian hingga menyebabkan kecederaan parah pada anak kandung mereka yang berusia dua bulan, pada awal bulan ini.
Ringkasan AI
- Sepasang suami isteri berusia 22 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Gajah atas dakwaan mengabaikan anak kandung mereka yang berusia dua bulan hingga menyebabkan kecederaan parah.
- Mereka didakwa di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
- Mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 setiap seorang dengan syarat tambahan, dan sebutan semula kes ditetapkan pada 12 Jun; bayi mangsa dilaporkan mengalami kecederaan lama dan baharu di kepala serta kesan lebam dan luka di badan dan leher.
Kedua-dua mereka didakwa di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ali Hussain mencadangkan agar tiada jaminan dikenakan ke atas kedua-dua tertuduh, memandangkan kes tersebut serius namun menyerahkan keputusan kepada budi bicara mahkamah.
Peguam Mohammed Hissham Ramdzan yang mewakili kedua-dua pasangan suami isteri itu, merayu agar satu jaminan rendah dikenakan, memandangkan pertuduhan adalah secara bersama selain Muhamad Nor baharu sahaja bekerja manakala Nur Khairunnisa baru habis pantang dan hanya seorang suri rumah.
Hakim Aiza Khairuddin menetapkan jaminan RM10,000 bagi setiap tertuduh, di samping syarat tambahan iaitu pasport diserahkan kepada mahkamah dan perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali serta dilarang mengganggu saksi pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 12 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula bagi serahan dokumen.
Media sebelum ini melaporkan seorang bayi telah dibawa ke Hospital Alor Gajah oleh ibunya, untuk mendapatkan rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Melaka.
Pakar perubatan di Hospital Melaka mengesyaki bayi itu didera dan membuat laporan polis selepas pemeriksaan dilakukan, termasuk imbasan CT yang mendapati terdapat kecederaan baharu dan lama dalam kepala selain kesan lebam, luka di badan dan leher.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami