BALING:Seorang lelaki dan wanita Thailand yang cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya (SJR) di Parit Panjang di sini, berjaya ditahan sebelum pemeriksaan mendapati mereka memiliki sejumlah dadah.

Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan, berkata suspek berusia 34 dan 30 tahun yang menaiki Honda Accord itu dilihat membuat pusingan selepas menyedari terdapat SJR di kawasan Binjul jam 6.45 petang Ahad.

"Susulan itu, sebuah kereta peronda telah mengejar kenderaan tersebut sehingga sampai di belakang sebuah stesen minyak di Parit Panjang.

"Pemeriksaan kemudian menemui dadah jenis syabu dan pil kuda. Lelaki itu juga didapati positif Methapethamine," katanya di sini, pada Isnin.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39A Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya menggagalkan cubaan menyeludup ketum seberat 4.5 tan bernilai RM45,000 ke Kelantan dalam SJR di Jalan Baling-Gerik berdekatan simpang tiga Jerai, Kupang, pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling bertindak menahan lori tiga tan dari arah Kupang menghala ke Gerik, Perak selepas dilihat mencurigakan.

Beliau berkata, anggotanya yang melakukan pemeriksaan menemui longgokan plastik hitam diikat kemas di dalam lori yang ditutup dengan kanvas berkenaan.

"Ketum terbabit dipercayai diambil di Nami, Padang Terap oleh pemandu lori itu untuk dihantar ke Kelantan.

"Hasil siasatan pemandu berusia 39 tahun itu mengaku mengambil upah sebanyak RM800 bagi setiap perjalanan membawa daun ketum," katanya.

Beliau berkata, lelaki itu mempunyai rekod lampau kesalahan yang sama malah lori berkenaan menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Katanya, suspek direman sehingga 4 Februari depan untuk siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, selain didapati melanggar Peraturan 4 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.