KUCHING:Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak tidak membenarkan sebarang pengoperasian pasar tani dan pasar tamu di kawasan yang dikategorikan sebagai zon merah.

Untuk itu, bagi petani yang menghadapi masalah untuk menjual hasil pertanian sepanjang tempoh penutupan, Jabatan Pertanian dan pertubuhan peladang tempatan akan membeli hasil pertanian tersebut.

Menurut Pengerusinya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, sepanjang tempoh itu juga, JPBN Sarawak bersama pihak berkuasa tempatan memantau perkembangan terkini sebelum membenarkan mereka beroperasi semula.

“Jadi sepanjang tempoh ini, kita telah mengarahkan Jabatan Pertanian untuk membeli hasil pertanian daripada petani.

“Sekiranya berdepan dengan sebarang masalah, sila hubungi Jabatan Pertanian daerah masing-masing.

“Ini bagi memastikan apa sahaja hasil pertanian akan dibeli dan mereka akan mencari jalan untuk menjual hasil pertanian ini,” kata Uggah.

Terdahulu Astro AWANI melaporkan empat pasar di bandaraya Miri diarah tutup serta-merta sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Ia melibatkan Pasar Minggu Centre Point, Pasar Minggu Lutong, Tamu Maigold dan Pasar Malam Saberkas.

Penutupan ini diputuskan Majlis Bandaraya Miri memandangkan mobiliti yang tinggi melibatkan kesemua peniaga di sana.

Sehingga kini terdapat 10 daerah di negeri itu termasuk Julau, Subis, Sibu dan Miri yang dikategorikan sebagai zon merah selepas mencatatkan 2,003 kes positif COVID-19 dalam tempoh 14 hari.