KUALA LUMPUR: Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup rendah bagi hari ketiga berturut-turut hari ini ditengah-tengah penurunan pasaran niaga hadapan getah serantau dan kekukuhan ringgit berbanding dolar AS, kata seorang peniaga.

Beliau berkata sentimen pasaran terjejas akibat daripada kebimbangan berterusan terhadap kadar faedah Amerika Syarikat (AS) yang kekal tinggi bagi tempoh lebih lama dan ketegangan geopolitik yang memburuk di Timur Tengah.

Niaga hadapan getah Jepun susut pada Khamis apabila kebimbangan geopolitik yang semakin meningkat dan harga minyak mentah yang lemah telah menjejaskan sentimen pasaran.

Bagaimanapun, penurunan seterusnya dihadkan oleh pemulihan harga minyak mentah ditambah dengan jangkaan kekurangan bekalan getah ekoran cuaca panas dan musim daun luruh di negara pengeluar getah utama.

"Harga minyak meningkat pada Khamis, mengurangkan sedikit penurunan sebelumnya selepas AS berkata ia akan mengenakan semula sekatan ke atas Venezuela dan ura-ura Kesatuan Eropah akan mengenakan sekatan baharu ke atas Iran," katanya kepada Bernama.

Memetik ramalan cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Thailand, beliau turut berkata bahawa keadaan cuaca yang "panas sehingga sangat panas" dijangka berterusan di seluruh Thailand, termasuk wilayah selatan sehingga 23 April.

Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi Getah Standard Malaysia 20 (SMR 20) turun satu sen kepada 765.5 sen sekilogram manakala harga susu getah pukal susut sebanyak 0.5 sen kepada 734.5 sen sekilogram.

Pada 5 petang, harga rujukan MRB bagi SMR 20 fizikal berada pada 765 sen sekilogram manakala lateks pukal pada 735 sen sekilogram.

-- BERNAMA