KUALA LUMPUR : Pemilik kenderaan yang mengalami kerosakan akibat bencana banjir akan menikmati kadar potongan sekurang-kurangnya 25 peratus bagi pembelian alat ganti dari 20 syarikat pengeluar kenderaan.

Menurut Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz,  ia juga meliputi kos tunda secara percuma serta baucar diskaun sehingga RM1,000.

“Yang penting sekali, kita nak senangkan rakyat. Jadi, pemilik kenderaan tak perlu membuat sebarang permohonan. Kalau kenderaan rosak akibat banjir, mereka boleh menebus baucar tersebut di pusat servis atau pengedar sah untuk syarikat automotif yang terlibat.

“Baucar ini akan digunakan secara potongan terus daripada kos keseluruhan pembaikan atau kos penggantian kenderaan baharu melalui invois yang dikeluarkan oleh pusat servis dan pengedar sah,” katanya hari ini.

Setakat ini katanya lebih 1,800 pusat servis dan bengkel berdaftar untuk inisiatif ini, iaitu sekitar 1,100 pusat servis kereta dan 700 bengkel motosikal.

Malah jelasnya kerajaan terus meningkatkan bilangan pusat servis serta bengkel yang terlibat, terutamanya untuk motosikal dengan menambah pusat-pusat servis dan bengkel-bengkel yang berdaftar di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan dan Daerah.

Ini bagi memudahkan urusan rakyat yang terjejas banjir memanfaatkan Baucar Diskaun Automotif.

“Saya juga nak ingatkan bahawa tarikh akhir tuntutan inisiatif Baucar Diskaun Automatif Keluarga Malaysia adalah pada 31 Mac 2022. Mangsa banjir sudah boleh mula membuat tuntutan dari pusat servis atau pengedar sah dan bengkel-bengkel yang berdaftar bagi mengelakkan sebarang kesulitan,” jelasnya lagi.