KUANTAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengeluarkan 25 notis Pengesanan Maklumat Barangan dan satu notis terhadap seorang pemilik kedai alat ganti kenderaan selepas didapati berlaku kenaikan harga barangannya.

Ketua Pengarah Penguatkuasaan KPDNHEP, Azman Adam berkata, pemilik kedai terbabit dikenakan notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.

Menurutnya, pemilik kedai itu diberi tempoh dua hari untuk menjawab beberapa perkara di dalam notis itu antaranya berkaitan harga barangan yang dijual.

"Notis itu perlu diserahkan kepada pejabat KPDNHEP Pahang untuk mereka menilai semula kadar harga barangan yang dikenakan berdasarkan dokumen yang dikemukakan oleh pemilik kedai terbabit," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas berakhirnya pemeriksaan Ops Cakna di bawah AKHAP 2011 di sebuah kedai perabot dan barangan elektrik di Jalan Wong Ah Jang di sini pada Sabtu.

Azman berkata, sebanyak 25 premis telah diperiksa yang terdiri daripada 13 barangan elektrik; lima kedai pakaian, tiga kedai alat ganti kenderaan, dan masing-masing dua kedai perabot, serta bengkel dalam Ops Cakna yang bermula seluruh negara pada Sabtu.

Menurutnya, operasi itu diadakan bagi memantau kenaikan harga barangan keperluan isu rumah seperti perabot, perkakas elektrik dan alat gantian kenderaan pascabanjir.

Katanya, seramai 2,200 pegawai penguat kuasa dan 1,000 pegawai pemantauan harga akan melaksanakan pemeriksaan di semua premis di seluruh negara bagi mengesan peniaga yang cuba mengambil keuntungan tidak munasabah.

"Pegawai ini (penguat kuasa dan pemantau harga) akan membuat semakan rekod harga barangan dan perkhidmatan bagi memastikan tiada kegiatan mencatut dilakukan.

"Pegawai akan terus mengeluarkan notis, jika didapati wujud elemen pencatut dalam kalangan peniaga.

"Kita mahu beri satu pelindungan kepada mangsa banjir kerana mereka kini susah ekoran banyak barang musnah, jadi kita hendak lindungi hak mereka sebagai pengguna dan sebab itu Ops Cakna dilaksanakan," katanya.

Azman berkata, peniaga yang didapati melakukan kesalahan mencatut boleh dikenakan penalti iaitu denda RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya.

Katanya, bagi syarikat atau perbadanan pula boleh dikenakan denda RM500,000.

"Jika pengguna mempunyai sebarang maklumat mengenai salah laku oleh mana-mana pihak, mereka perlu mengemukakan aduan kepada pihak KPDNHEP," katanya.


*Berita asal di Sinar Harian