SHAH ALAM: Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) menjangkakan operasi kerja-kerja pembersihan sampah di kawasan sekitar negeri Selangor yang terjejas dengan banjir dapat ditamatkan pada hujung minggu ini.

Ketua Operasi Pascabanjir SWCorp Selangor, Hazahar Hashim berkata, sejak operasi digerakkan pada 21 Disember lalu bagi membantu Kerajaan Negeri Selangor, sebanyak 700 tan sisa pukal banjir telah dipungut sehari.

Jelas beliau, ia melibatkan sekitar 70 lori Roll-On-Roll-Off (RORO) dan 120 tenaga kerja sehari bagi melancarkan dan mempercepatkan lagi kerja-kerja kutipan sampah oleh KDEB Waste Management (KDEBWM).

"SWCorp dan Alam Flora Environment Solution Sdn Bhd (AFES) juga tidak hanya di kawasan Taman Sri Muda, tetapi kami terlibat di beberapa tempat di Kampung Tengah, Puchong, dan Kampung Nanding, Hulu Langat.

"Kita juga menggerakkan semua jentera ke kawasan-kawasan tersebut untuk membersihkan sisa-sisa pukal, dan di Nanding atau Hulu Selangor, kita telah selesai membantu pihak kerajaan negeri untuk keluarkan sisa itu dan 100 peratus sisa-sisa pukal banjir itu telah dikeluarkan," katanya ketika ditemui Astro AWANI, di sini pada Selasa.



Mengulas mengenai operasi pembersihan di Taman Sri Muda, Seksyen 25, pula, Hazahar berkata ia melibatkan tiga fasa yang bermula pada 27 Disember lalu.

Katanya, sebanyak 30 RORO dan sembilan backhoe digerakkan di Taman Sri Muda untuk pengumpulan sisa banjir di dua tapak pengumpulan sementara di lokasi tersebut sebelum ia dipindahkan ke pusat pelupusan.

"Kita menggerakkan anggota dan jentera kita dengan semaksimum yang boleh untuk memastikan Taman Sri Muda dapat dibersihkan dalam keadaan seperti sediakala dan tempoh perancangan kami sehingga pada hujung minggu. Ia pun bergantung kepada keadaan cuaca dan permintaan daripada bantuan yang diminta oleh MBSA (Majlis Bandaraya Shah Alam) atau KDEB.

"Di Taman Sri Muda, purata sehari yang kita keluarkan sampah ialah 270 ke 300 tan sehari. Taman Sri Muda ini, kita di bawah KDEB dan agensi-agensi lain, sudah hampir 80 peratus sampah telah dikutip," katanya lagi.



Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi AFES, Nazar Abdul Raof berkata, bagi memastikan gerak kerja pengutan sampah dapat dilakukan dengan efisien, dron turut diterbangkan untuk memantau kawasan sekitar yang terjejas banjir.

"Data yang kita ambil, kita bincang bersama dengan SWCorp di bilik gerakan, dan kita rancang kerja untuk keesokan harinya. Selepas itu kita akan kumpulkan sumber yang kita ada dan pergi ke kawasan terbabit.

"Kita menggunakan konsep 1-3-5, iaitu satu jengkauk dengan tiga RORO bersama lima kru. Sebab ini penting jika tiada perancangan begini, ia akan banyak menyebabkan lori menunggu jengkauk, atau lori banyak tetapi jengkauk sikit. Situasi itu akan melambatkan kerja.

"Apabila arahan diberikan di kawasan-kawasan mana, berdasarkan dron dan tinjauan yang dilakukan SWCorp, kita akan meletakkan pasukan-pasukan untuk membersihkan kawasan. Berdasarkan pengalaman kita dalam tempoh seminggu ini, cara itu sangat cepat," ujarnya.

Sebelum ini, Menteri KPKT, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican memaklumkan pihaknya mengarahkan SWCorp turun dalam operasi pasca banjir di Selangor walaupun Selangor tidak mengguna pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

Ketika ini, negeri yang menguatkuasa Akta 672, yang mana urusan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam dikendali SWCorp menerusi syarikat konsesi termasuk Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Kedah serta Perlis, manakala negeri lain diurus syarikat konsesi sendiri dengan Selangor dikendalikan oleh KDEB.