LANCHANG: Kerajaan memperuntukkan RM5 juta bagi pembelian bot Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi persediaan menghadapi banjir gelombang kedua.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, persediaan awal itu dibuat bagi memastikan setiap mangsa dapat diselamatkan jika banjir melanda.

"Kita dah luluskan RM5 juta untuk tentera dan polis beli bot baru mereka, supaya standby gelombang kedua.

"Saya nak sebutkan Negeri Pahang ini kita ready, untuk hadapi banjir ini. Kita sedia daripada awal, bukan sahaja mesyuarat sejak Ogos, tapi bulan Oktober dah ada latihan.

"Kalau di tempat saya di Bera, tepi sungai Jawatankuasa Ketua Kampung kita sediakan bot untuk mereka, peruntukan membeli bot untuk JKK tepi sungai," jelasnya dalam sidang media selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Daerah Temerloh pada Sabtu.

BACA LAPOR LANGSUNG BERHUBUNG BENCANA BANJIR 2021 DI SINI

Tambah Ismail, kerajaan akan meneliti semula sama ada perlu membelikan bot terutama kepada penduduk di tepi sungai atau sebaliknya.

"Kalau banjir berlaku satu dua rumah nak pindah, tak perlu tunggu bomba dan tentera datang, menyelamat sama mereka sendiri.

"Tapi mungkin ada sesetengah tempat tak bersedia, Selangor mungkin tak bersedia sebab bukan di tepi sungai.

"Contoh di Sri Muda, takkan nak letak bot di situ, pelik orang ramai, kalau beli bot nanti orang kata kerajaan bazir duit, kalau beli bot untuk Jawatankuasa Kampung itu bukan satu perkara pelik kerana ini dilakukan di Pahang," jelasnya lagi.

Sehingga kini, sebanyak RM1.4 bilion peruntukan telah disalurkan kepada mangsa banjir di beberapa negeri yang terjejas.

Mengulas lanjut di Pahang, tambah Ismail, kerajaan akan menimbangkan semula kaedah mengatasi banjir jangka masa panjang.

Ia termasuk memindahkan dan membina semula penempatan banjir di sekitar daerah terjejas.

"Kalau dulu tahun 1971, kita buat pemindahan banjir, mereka tinggal di tepi sungai kita panggil rumah banjir.

"Rumah ini dibina semula supaya dipindahkan penduduk tepi sungai, sebab satu perkampungan banjir,: jelasnya lagi.