PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob enggan mengulas lanjut mengenai dokumen yang didakwa mengandungi percaturan Pas untuk mencampuri urusan kehakiman.

Menjawab ringkas soalan pemberita di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini, beliau berkata, dokumen itu masih belum dipastikan kesahihannya.

"Kita pun tak tahu dokumen itu betul atau tidak,” komennya ringkas, dan enggan mengulas lanjut.

Perdana Menteri berkata demikian ketika ditanya pemberita, selepas selesai merasmikan Majlis Town Hall, dan Pelancaran Buku Keluarga Sejahtera Keluarga Malaysia di sini hari ini.

Sebelum ini tular beberapa dokumen di media sosial, yang mendakwa terdapat perancangan rapi untuk mempercepatkan hukuman mahkamah terhadap beberapa pemimpin kanan UMNO, termasuk Presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Antara nama yang disebut sebagai ‘perancang utama’ dalam dokumen itu ialah Naib Presiden Pas, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar, dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, yang dikatakan mengadakan pertemuan dengan pemimpin parti politik lain.

Antara pemimpin itu ialah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali diikuti Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Bagaimanapun, Ahmad Samsuri, yang juga Menteri Besar Terengganu, menyifatkan butiran dokumen itu adalah palsu, dan sampah.

“Yang dokumen sampah macam itu pun ada orang percaya jugakah? Saya buat gelak saja benda itu (dokumen), eja nama saya pun tidak betul… tak benar, itu datang daripada mana entah, benda-benda sampahlah bagi saya...” katanya.

Selain itu, Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Barisan Nasional dilaporkan akan membuat laporan polis.

Peguam utama Ahmad Zahid, Hisham Teh Poh Teik berkata, dokumen risikan yang didakwa dikarang jawatankuasa pusat Pas itu menimbulkan kesulitan kepada pihaknya, dan mengakui terkejut tentang perkara berkenaan.

"Satu laporan polis akan dibuat dan kita telah bertanya pada pihak berkuasa berkaitan untuk menyiasat perkara itu dengan teliti sama ada cubaan itu dibuat untuk menjejaskan integriti proses kehakiman," katanya dalam kenyataan pada tengahari Rabu.