Mahkamah Koroner hari ini memutuskan untuk menangguhkan sesi prosiding bagi memberi laluan kepada pihak Pegawai Pengendali Inkues untuk hadir ke Balai Bomba Subang Jaya.

Tindakan itu bagi melihat semula keadaan kenderaan van Emergency Medical Rescue Services (EMRS) yang dinaiki anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim ketika malam rusuhan.

Perkara itu diputuskan sejurus selepas permohonan oleh Pegawai Pengendali Inkues, Hamdan Hamzah untuk hadir ke balai bomba tersebut bersama kesemua pasukan forensik yang terlibat.

Menurut Pegawai Pengendali Inkues, Faten Hadni Khairuddin lawatan itu bertujuan bagi mencapai keputusan adil.

"Kita nak lawat semula untuk capai keputusan adil untuk semua pihak tengok kenderaan itu - terutamanya di bahagian pintu - ada kaitan. Dan semua (pasukan) perlu ke sana," katanya.

Bagaimanapun, pihak media tidak dibenarkan berada di lokasi ketika sesi perbincangan berlangsung.

Ini kerana, ia merupakan prosedur di luar prosiding mahkamah, menurut peguam Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Jabatan Bomba Dan Penyelamat, Syazlin Mansor.

Terdahulu pihak pengendali inkues bersama pihak pakar forensik tiba di Balai Bomba Subang Jaya sekitar jam 11.30 pagi.

Semalam, saksi ke-29, Prof Dr Shahrom Abdul Wahid, bekas pakar forensik Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) berkata, pihaknya tidak hadir ke lokasi kejadian disebabkan telah mempunyai bahan bukti yang mencukupi.

BACA: Inkues Adib: Soalan patah tulang rusuk tak relevan

BACA: Muhamad Adib mungkin ditarik keluar dari van EMRS, dihentak pintu

Koroner Rofiah Mohammad menetapkan prosiding bersambung semula jam 9.30 pagi esok.

Muhammad Adib, anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov tahun lalu.

Beliau menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis 2018, di Institut Jantung Negara.