Siasatan awal polis mendapati, bom buatan sendiri digunakan dalam kejadian letupan bom yang meragut nyawa seorang kerani sekolah di Taman Seri Periuk, Tumpat, Kelantan, pada Ahad.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, serpihan bom berkenaan dihantar ke Jabatan Kimia untuk mengenal pasti jenis bom serta kandungannya.

Menurutnya, satu pasukan khas turut dibentuk bagi menyiasat kejadian itu, diketuai oleh Timbalan Ketua Polis Daerah Tumpat.

“Pihak kami telah menubuhkan satu pasukan siasatan untuk kami menyelesaikan kes ini secepat mungkin. Saya meminta kepada orang ramai jangan khuatir, ianya kes terpencil dan keadaan dan keselamatan terkawal,” katanya kepada pemberita.

Bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, di Kota Bahru, beliau berkata, siasatan kini menjurus kepada motif kejadian, khususnya mengenal pasti sasaran sebenar bom berkenaan.

Ini jelasnya kerana, ketika kejadian itu terdapat sembilan lelaki dewasa berada di rumah berkenaan, termasuk mangsa, Mohd Yusrizal Mat Zain, 32.

Beliau turut mengesahkan, hanya satu bom meletup di dalam kejadian itu, bukannya dua bungkusan bom seperti dilaporkan sebelum ini.

Sementara itu, jenazah Mohd Yusrizal selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung kenor, Kuala Krai, kira-kira jam 12.30 malam, pada ahad.