MALAYSIA
Pasukan Pemantau Tasik Kenyir dijenamakan semula sebagai Kenyir Rangers

Razali (tengah) ketika meninjau reruai pemeran sempena Sambutan Hari Renjer Sedunia 2025 di Wisma Darul Iman, di Kuala Terengganu, pada Khamis. - Gambar Sinar Harian
KUALA TERENGGANU: Pasukan Pemantauan Tasik Kenyir yang sebelum ini ditubuhkan untuk mengawal aktiviti pencerobohan di kawasan Geopark Kebangsaan itu, kini dikenali sebagai Kenyir Rangers.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu Datuk Razali Idris berkata ia selari dengan beberapa penambahbaikan yang dilaksana bagi memperkasakan aktiviti kawalan dan perlindungan sumber alam di kawasan Tasik Kenyir.
Beliau berkata sebanyak 80 renjer daripada 16 agensi dan jabatan berkaitan telah dilantik sebagai anggota Kenyir Rangers bagi menangani aktiviti yang menyalahi undang-undang dan memastikan semua aktiviti pembangunan di Tasik Kenyir dilaksana mengikut peraturan serta syarat ditetapkan.
"Pada asalnya Pasukan Pemantau Tasik Kenyir ditubuhkan pada 1997 bagi mengekang aktiviti pencerobohan terutama oleh warga asing."Bagaimanapun, sesuai dengan peredaran masa dan perubahan peranan pelbagai agensi dalam perlindungan sumber alam, pemerkasaan Pasukan Pemantau Tasik Kenyir perlu dilakukan," katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Renjer Sedunia 2025 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Pengarah (Dasar dan Perancangan) Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia Datuk Roslan Rani dan Pengarah Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu (MPTNT) Datuk Tengku Mohd Ariffin Tengku Abdul Rahman.
Razali berkata antara agensi yang terlibat sebagai Kenyir Rangers termasuk MPTNT, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) Terengganu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu, Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu dan Tenaga Nasional Berhad.
Kenyir Rengers turut dibantu dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO), iaitu Panthera dan Nature Based Solutions yang berperanan sebagai rakan teknikal dalam mendapatkan maklumat dan memberi perspektif menyeluruh mengenai pelbagai isu di Tasik Kenyir daripada pangkalan data peronda SMART (Spatial Monitoring and Reporting Tool).
"Kerajaan negeri akan terus menyokong pemerkasaan renjer termasuk daripada aspek penambahbaikan latihan, penyediaan peralatan yang moden, insentif dan pembentukan kerjasama antara agensi dalam serta luar negara," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami