Seramai 93 pendatang tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Kedah dalam satu operasi bersepadu yang dijalankan pada pagi Selasa.

Mereka ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan tinggal lebih masa di negara ini .

Daripada jumlah itu, 16 daripadanya merupakan warga indonesia, 67 Myanmar, tujuh Bangladesh, dua Nepal dan seorang dari India.

Mereka dipercayai telah tinggal di kawasan pembinaan itu sejak dua tahun lalu.


Menurut Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Kedah, Mohd Shahrir Khalil operasi kini ditumpukan di kawasan ladang dan kawasan tapak pembinaan.

"Kita jalankan risikan atas maklumat yang kita perolehi lah, dalam masa sebulan sahaja kebanyakkan yang kita tahan ialah kesalahan tiada memiliki beberapa pas untuk berada di negara kita," kata Mohd Shahrir.

Ketika serbuan dijalankan, kumpulan tersebut bertempiaran lari apabila menyedari kehadiran pihak berkuasa sebelum berjaya ditahan dan segelintirnya berjaya meloloskan diri.

Kesemua PATI telah dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Anak Bukit di Alor Setar untuk siasatan lanjut sebelum dihantar ke depoh tahanan Imigresen Belantik di Sik.

Kes disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (C) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(1) (C).