CYBERJAYA: Penggiat industri pelancongan digesa supaya sentiasa mematuhi Standard Pelancongan ASEAN bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan sektor itu sekali gus mempromosikan imej pelancongan negara yang baik.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata kini ada kecenderungan dalam kalangan pelancong luar negara untuk tidak menggunakan perkhidmatan ejen pelancongan berdaftar disebabkan kualiti perkhidmatan segelintir pengusaha pelancongan yang lemah.

"Oleh itu pemain industri pelancongan harus bangkit memperkasakan perkhidmatan dan melahirkan inisiatif baharu demi menarik lebih ramai pelancong ke negara kita," katanya pada Majlis Penyampaian Sijil Anugerah Standard Pelancongan ASEAN 2024-2026 di sini pada Isnin.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Roslan Abdul Rahman.

Tiong berkata beliau telah mengarahkan supaya sesi libat urus dengan pemegang taruh sektor berkenaan diadakan bagi mengatasi isu berkaitan kualiti pertkhidmatan pelancongan itu di negara ini.

Standard Pelancongan ASEAN merupakan suatu ketetapan piawaian oleh negara ASEAN bagi meningkatkan mutu perkhidmatan dalam industri pelancongan serantau selaras dengan PelanPelancongan Strategik ASEAN 2016-2025 untuk menjadikan ASEAN sebagai destinasi unggul di peringkat antarabangsa.

Standard itu adalah piawaian serta panduan kepada semua negara anggota ASEAN dalam menyediakan penyampaian perkhidmatan yang berkualiti kepada pelancong.

Terdapat sembilan Standard Pelancongan sedia ada, antaranya ASEAN Green Hotel Standard, ASEAN Homestay Standard, ASEAN Community Based Tourism Standard dan ASEAN Clean Tourist City Standard.

-- BERNAMA