MALAYSIA
Patuhi syariah ketika promosi produk - Exco

Dalam era digital masa kini, promosi perniagaan boleh dilakukan dengan cara yang kreatif tanpa melanggar batas moral dan agama. - Gambar hiasan/Refat
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan memandang serius tindakan segelintir ahli perniagaan wanita negeri itu termasuk pengasas produk yang mempromosikan perniagaan dengan cara tidak sopan dan berpakaian mencolok mata di media sosial.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Kelantan Rohani Ibrahim berkata kerajaan negeri menerusi pelbagai program pendidikan berterusan berusaha mendidik masyarakat agar memahami batas syariah dalam urusan harian termasuk berkaitan perniagaan.
"Kita tidak mahu melihat kejayaan dalam perniagaan semata-mata tanpa keberkatan. Apa juga bentuk perniagaan mesti patuh syariah. Malangnya, ada yang 'terlebih' dalam aspek promosi terutamanya daripada sudut penampilan fizikal yang bertentangan dengan ajaran Islam.
"Rezeki yang melimpah belum tentu memberi manfaat jika tidak disertai keberkatan. Oleh itu, untuk menjadi usahawan yang berkualiti dan berjaya, asas utama yang perlu ditekankan ialah kepatuhan terhadap syariah dalam semua aspek termasuk kaedah promosi dan produk yang dijual," katanya kepada Bernama baru-baru ini.Beliau berkata program pemerkasaan wanita dan keusahawanan yang dilaksanakan kerajaan negeri turut menyentuh aspek kepatuhan syariah menerusi pendekatan menyeluruh dan inklusif tanpa menyasarkan mana-mana pihak secara khusus.
Rohani turut menekankan bahawa dalam era digital masa kini, promosi perniagaan boleh dilakukan dengan cara yang kreatif tanpa melanggar batas moral dan agama.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai segelintir usahawan tempatan di media sosial yang terlalu menonjol ketika mempromosikan produk termasuk berpakaian mencolok mata, menggunakan bahasa kesat dan memaparkan kemewahan berlebihan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami