GEORGE TOWN: Operator pawagam telah bersiap sedia untuk menyambut penonton apabila operasi tayangan filem kembali dibenarkan susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, baru-baru ini

Pada 7 September lepas, Ismail Sabri berkata kerajaan melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) di bawah Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi industri kreatif dengan membenarkan operator panggung wayang memulakan operasi mereka dengan kapasiti 50 peratus membabitkan individu yang lengkap vaksinasi, berkuat kuasa Khamis lepas (9 Sept).

Pengurus Perhubungan Awam dan Jenama Golden Screen Cinema (GSC) Sharmine Ishak memberitahu Bernama bahawa sepanjang penutupan pawagam syarikat itu, petugasnya menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan termasuk pembersihan tempat duduk, dewan dan kemudahan seperti e-kios, serta peralatan seperti projektor.

Beliau berkata sebelum pembukaan semula, pawagam akan menjalani operasi nyah kuman untuk memastikan bahawa semuanya dalam keadaan selamat untuk menyambut penonton filem menikmati wayang gambar.

"Kini pengusaha pawagam sedang menunggu pengumuman kerajaan Persekutuan mengenai prosedur operasi standard terperinci (SOP) untuk operasi kami sebelum dibuka semula kelak," katanya

"Selain itu, studio dan pengedar baru saja berpeluang menyerahkan filem mereka kepada Lembaga Penapisan Filem Malaysia untuk tontonan tapisan kandungan kerana aktiviti itu tidak dapat dilakukan semasa sekatan perjalanan dikuatkuasakan," katanya.

Menurut beliau, sebarang perkembangan mengenai pembukaan semula pawagam dan penayangan filem akan diumumkan melalui media sosial.

Sementara itu, Pengurus Besar Jualan dan Pemasaran TGV Cinemas Mohit Bhargava berkata bahawa mereka juga akan melatih petugas barisan hadapan syarikat mengenai pematuhan SOP baharu yang digariskan oleh kerajaan Persekutuan, berserta prosedur tambahan keselamatan syarikat yang telah ditamah baik.

Katanya, antara SOP keselamatan mereka termasuk membenarkan hanya individu dan petugas yang lengkap divaskin dan berumur 18 tahun ke atas.

Selain itu, meningkatkan keselamatan dalam pengurusan makanan, memastikan operasi penjualan tiket tanpa sentuhan serta pemantauan aktif terhadap skor kepuasan keselamatan, katanya.

"Selain itu, kami juga mengadakan pelbagai tawaran menarik untuk ahli dan tetamu MovieClub kami sebagai persediaan menyambut semula penonton sempena pengoperasian semula perniagaan kami," katanya.

Justeru, beliau berharap agar pembukaan semula pawagam itu dapat menyediakan rakyat Malaysia akan persekitaran yang selamat bagi mengurangkan tekanan dan kegelisahan mereka, tatkala penularan wabak dengan menawarkan harga yang berpatutan dan menarik.

"Sebagai industri, kami bertanggungjawab untuk menciptakan sekitar 20,000 pekerjaan yang sebelum ini semuanya terjejas ekoran penutupan pawagam kami dan berharap dapat membina semula perniagaan kami di samping membantu kakitangan dan keluarga mereka kembali menjalani kehidupan normal," katanya

-- BERNAMA