SAN JOSE: Syarikat perkhidmatan kewangan PayPal dilaporkan akan mengurangkan 2,000 kakitangan di seluruh dunia selepas berdepan dengan kelembapan makroekonomi sekali gus memberi kesan kepada perniagaan firma itu dalam suku tahun kebelakangan ini.

Ketua Eksekutif Dan Schulman memaklumkan perkara ini kepada pekerja dalam satu memo bahawa pemberhentian ini bakal menjejaskan kira-kira tujuh peratus kakitangan.

Tambah laporan The Irish Times, pemberhentian ini dijangka akan berlaku dalam beberapa minggu akan datang.

Syarikat ini dilaporkan memiliki lebih daripada 2,000 orang kakitangan di Ireland dan jika pemotongan dilakukan secara berkadar, jumlah bersamaan lebih daripada 140 pekerjaan.

"Walaupun kami telah mencapai kemajuan besar dalam saiz struktur kos kami yang tepat dan menumpukan sumber kami pada keutamaan strategik teras kami, kami mempunyai lebih banyak kerja untuk dilakukan," kata Schulman.

PayPal merupakan firma teknologi terkini yang mengurangkan bilangan kakitangan dalam beberapa bulan kebelakangan ini, diikuti platform Meta pemilik Facebook, Alphabet pemilik Google, firma pembayaran Stripe dan syarikat gergasi e-dagang Amazon.

Dalam masa sama, Twitter turut mengurangkan separuh tenaga kerja sejak Elon Musk membeli syarikat itu.

Sementara itu, pengurus sementara Agensi Pembangunan Perindustrian (IDA) Ireland Mary Buckley memberi amaran dua minggu lalu bahawa kemungkinan lebih banyak kehilangan pekerjaan dalam sektor teknologi.

Antara syarikat lain yang turut mengurangkan kakitangan sejak kebelakangan ini termasuk Salesforce dan Zendesk termasuk IBM dan SAP Jerman.