NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menggantung pergerakan bantuan kecemasan pada waktu malam di Gaza selama sekurang-kurangnya 48 jam.

Jurucakap PBB Stephane Dujarric pada Rabu berkata, ia untuk menilai isu keselamatan berikutan pembunuhan kakitangan badan amal makanan World Central Kitchen (WCK).

Dujarric berkata penggantungan itu bermula pada Selasa dan usaha ntuk menghantar konvoi ke utara Gaza di mana ramai orang orang maut akan dihentikan pada waktu malam.

"Pada siang hari, rakan sekerja kami di Program Makanan Sedunia memberitahu kami bahawa operasi diteruskan, termasuk usaha harian untuk menghantar konvoi ke utara.

"Orang ramai sedang tenat dan adalah penting untuk kami memberikan bantuan kepada mereka.

"Kami memerlukan kakitangan dan bekalan kemanusiaan untuk dapat bergerak dengan bebas dan selamat merentasi Semenanjung Gaza," katanya.

Sebelum ini Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata Israel tersilap membunuh tujuh pekerja bantuan WCK dalam serangan udara Gaza pada Isnin yang mengundang kecaman daripada Amerika Syarikat dan sekutu lain.

PBB telah lama merungut tentang halangan untuk mendapatkan bantuan dan mengagihkannya ke seluruh Gaza.

Badan dunia itu juga sudah kerap kali mengulangi gesaan gencatan senjata kemanusiaan segera dalam perang enam bulan antara Israel dan Hamas.