PBB selamatkan 410 kanak-kanak daripada kumpulan bersenjata di Congo

Ribuan penduduk yang melarikan diri daripada konflik yang berterusan antara tentera kerajaan dan pemberontak tiba di pintu masuk Republik Demokratik Congo, bandar timur Goma, 7 Feb 2024. - Gambar fail/AP
NEW YORK: Pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF) bekerjasama menyelamatkan 410 kanak-kanak yang ditahan kumpulan bersenjata di timur Republik Demokratik Congo (DRC), menurut jurucakap PBB pada Selasa, lapor Xinhua.
Stephane Dujarric, jurucakap Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres, berkata misi pengaman di Congo yang dikenali sebagai MONUSCO bekerjasama dengan UNICEF dari Januari hingga September bagi membebaskan 344 kanak-kanak lelaki dan 66 kanak-kanak perempuan yang ditahan oleh kumpulan bersenjata di wilayah North Kivu dan Ituri.
Beliau berkata kanak-kanak yang diselamatkan dirujuk kepada perkhidmatan sokongan bagi membantu mereka kembali kepada kehidupan normal selepas melalui pengalaman pahit itu.
"Dalam tempoh yang sama, PBB mengesahkan 165 kes pengambilan dan penggunaan kanak-kanak oleh kumpulan bersenjata, termasuk 30 kanak-kanak perempuan dan 135 kanak-kanak lelaki," katanya."Rakan-rakan kami memberitahu bahawa angka ini menunjukkan kerentanan berterusan dalam kalangan kanak-kanak di kawasan yang terjejas konflik, serta menekankan keperluan mendesak bagi langkah perlindungan berterusan termasuk pencegahan, kebertanggungjawaban dan sokongan penyepaduan semula jangka panjang," katanya lagi.
Dujarric berkata di bawah kerangka PBB mengenai kanak-kanak dan konflik bersenjata, misi pengaman berperanan mencegah dan memberi respons terhadap pelanggaran serius terhadap kanak-kanak, termasuk pengambilan mereka oleh pasukan dan kumpulan bersenjata.
Beliau menambah bahawa MONUSCO menyokong pihak berkuasa negara Congo dalam melaksanakan pelan tindakan, memperkukuh keupayaan pasukan keselamatan serta melaporkan pelanggaran melalui mekanisme pemantauan dan pelaporan PBB bagi meningkatkan kebertanggungjawaban serta perlindungan kanak-kanak.
MONUSCO, yang mempunyai perkhidmatan perlindungan kanak-kanak terbesar dalam kalangan misi pengaman PBB, menyatakan di laman sesawangnya bahawa pasukan pengaman telah membantu menyelamatkan ribuan kanak-kanak yang dikaitkan dengan pasukan dan kumpulan bersenjata.
Misi itu turut menyediakan sokongan teknikal bagi pembaharuan perundangan di Congo untuk memperkukuh sistem perlindungan kanak-kanak.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami