NATIONAL
PBT di Negeri Sembilan digesa lebih kreatif tarik peniaga di gerai MyKiosk - Aminuddin

Aminuddin berkata PBT sepatutnya perlu bijak mengatasi masalah, sekiranya dalam tempoh enam bulan tidak laku mereka perlu mencari tempat atau pengusaha baharu. - Gambar fail/BERNAMA
SEREMBAN: Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Negeri Sembilan, digesa untuk menjadi lebih kreatif bagi menarik lebih ramai peniaga kecil berniaga di gerai MyKiosk Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, PBT perlu mewujudkan kawasan baharu yang lebih menarik dan strategik untuk berniaga, sekiranya tempat asal tidak lagi mendapat sambutan.
Beliau berkata PBT sepatutnya perlu bijak mengatasi masalah tersebut, sekiranya dalam tempoh enam bulan tidak laku mereka perlu mencari tempat atau pengusaha baharu.
"Kiosk tersebut senang diubah dan dialihkan ke mana sahaja mengikut kesesuaian, apabila tidak ada sambutan, jangan biarkan macam itulah, itu tanggungjawab PBT, mereka kena fikirkan mana tempat sesuai."Janganlah dibiarkan sahaja, ini menunjukkan PBT tidak kreatif, tidak mempunyai cara untuk memastikan bahawa kawasan tersebut boleh membantu peniaga kecil," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Negeri, di sini semalam.
Media sebelum ini melaporkan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan J. Arul Kumar berkata sebanyak 414 MyKiosk KPKT disediakan di seluruh negeri itu, sejak dua tahun lepas namun hanya 250 diisi.
Susulan itu PBT di negeri ini diberi tempoh sebulan untuk menempatkan peniaga di gerai tersebut, bagi memastikan ia tidak menjadi projek gajah putih.
Dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata keputusan kerajaan negeri untuk melupuskan anjing liar di kawasan penempatan Melayu, adalah berdasarkan kepada tata cara pelupusan yang ditetapkan.
"Kita ada proses yang perlu kita lakukan, bukannya kita nak lupuskan secara semberono, kita ada akta yang harus kita hormati, kita serahkan kepada pihak berwajib untuk selesaikan serta ikut peraturan yang ditetapkan," katanya.
Media sebelum ini melaporkan Pengerusi Pertubuhan Bersatu Negeri Sembilan Datuk Seri S. Surash menyifatkan rancangan kerajaan negeri, melupuskan anjing liar di kawasan perumahan majoriti Melayu sebagai tindakan tidak sensitif dan bercanggah dengan prinsip kemanusiaan.
Perkara tersebut susulan daripada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri itu, sebulat suara pada persidangan DUN minggu lepas bersetuju bahawa kaedah pelupusan anjing liar di kawasan majoriti penempatan Melayu perlu dilaksanakan bagi mengatasi isu kacau ganggu dan keselamatan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami