Pihak berkuasa tempatan (PBT) dilarang menutup pasar dan sekolah di Tawau, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Jelas beliau, pihaknya dimaklumkan tindakan penutupan pasar di daerah itu susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran (TEMCO) di penjara Tawau.

Tegasnya, tindakan itu salah serta tidak boleh dilaksanakan dan sebarang arahan hanya boleh dikeluarkan kerajaan persekutuan.

"Saya tengok hari ini sama ada benar atau tidak yang di Tawau ini, ada arahan daripada PBT untuk menutup pasar dan sebagainya.

“Ini salah, tidak boleh dilakukan kerana SOP (prosedur operasi standard) hanya boleh dikeluarkan oleh kerajaan persekutuan, bukan kerajaan negeri ataupun PBT,” katanya,

Tambahnya lagi, sekolah juga tidak boleh ditutup dan ia perlu dibuka semula.

BACA: COVID-19: Aktiviti pasar malam, tamu mingguan di Tawau tutup sementara

Terdahulu, pada Khamis, empat sekolah di daerah itu ditutup dan pada Jumaat surat arahan mengenai penutupan pasar Tawau tular di media sosial.

Difahamkan, arahan menutup pasar bermula pada Sabtu.