IPOH: Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara diminta menjadi pemudah cara kepada usaha pertanian komuniti di kawasan masing-masing.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib, berkata tidak ada masalah untuk penduduk kawasan perumahan melakukan aktiviti pertanian termasuk menanam sayur-sayuran dan memelihara haiwan ternakan yang sesuai.

Malah, katanya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan  (KPKT) memang menggalakkan penduduk perumahan seperti Projek Perumahan Rakyat (PPR) untuk mengusahakan kebun komuniti.

“Ada garis panduannya dan kita benarkan komuniti di kawasan perumahan itu bangunkan tanah ini dengan tanam pertanian dan sebagainya. Ini banyak telah kita buat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-21 Persatuan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (MALA) di sini, hari ini.

Beliau berkata, perkara itu boleh dirundingkan dengan pegawai daerah, Yang Dipertua Majlis Daerah, Datuk Bandar serta wakil rakyat yang berkenaan.

“Saya ingat tak ada masalah, bagi saya kalau kita dapat menggerakkan semua PBT ini dan malah bagi saya sendiri pun, kita ada tanah-tanah kosong yang boleh kita majukan," katanya.

Bagaimanapun, katanya KPKT tidak bersetuju dengan tindakan individu yang membuat usaha itu secara persendirian dengan memonopoli kawasan yang ada, sehingga menimbulkan krisis antara penduduk.

“Jadi kalau secara komuniti, saya ingat tak ada masalah, saya menyokong penuh usaha ini,” kata beliau.

Menurutnya, sejak dari dahulu lagi kerajaan sentiasa menggalakkan aktiviti pertanian dengan memperkenalkan pelbagai program seperti ‘Buku Hijau’ dan kebun komuniti.

Baru-baru ini, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyarankan supaya rakyat di negeri itu menanam sendiri sayur-sayuran dan memelihara haiwan ternakan untuk kegunaan sendiri susulan kekurangan bekalan makanan yang dihadapi ketika ini.

Beliau berkata, langkah itu juga merupakan antara inisiatif bagi mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat yang terkesan akibat kenaikan harga beberapa produk pertanian dan penternakan ketika ini.