SHAH ALAM: Pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor diminta memantau peniaga yang mempunyai lebih daripada satu lesen perniagaan bagi mengelakkan isu 'Ali Baba', iaitu lesen yang diberi digunakan pihak lain.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri Rodziah Ismail berkata 77 peratus daripada 90,000 lesen yang dikeluarkan oleh kesemua PBT di Selangor, didapati didaftarkan di bawah satu nama dan berniaga di pelbagai lokasi di sekitar negeri ini.

Katanya selebihnya merupakan lesen yang menggunakan satu nama peniaga dan hanya berniaga di satu tempat dalam lokasi seliaan PBT yang didaftarkan di Selangor.

"Peniaga yang mempunyai banyak lesen perniagaan daripada PBT berbeza akan menyukarkan golongan itu mendapatkan pelbagai bentuk bantuan perniagaan daripada kerajaan negeri.

"Kadang-kadang seorang peniaga pegang sampai 30 (lesen perniagaan) tapi nama (yang didaftarkan) hanya satu.

"Bila kita gandingkan di bawah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor, maka kita tahu sebenarnya mereka berniaga di banyak tempat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Rangkaian DPU Sdn Bhd dengan Persatuan Penjaja dan Perniagaan Kecil Melayu Selangor, di sini, pada Khamis.

-- BERNAMA