Skip to main content

Sukan

FAM sentiasa patuh statut - Hamidin

KUALA LUMPUR, 4 Jun -- Presiden Kehormat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tan Sri Hamidin Mohd Amin (tiga,kiri) bersama Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John (dua,kanan) bercakap pada sesi Sidang Akhbar selepas Majlis Kongres Luar Biasa FAM 2026 hari ini.  Turut hadir Timbalan Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Vahid Kardany.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Hamidin berkata pindaan statut hadir pada masa yang sesuai untuk FAM melaksanakan perubahan menyeluruh ke arah model tadbir urus yang lebih moden dan efektif. - Foto Bernama

PETALING JAYA: Presiden Kehormat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tan Sri Hamidin Mohd Amin menyifatkan reformasi statut dicadangkan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sebagai peluang terbaik untuk FAM memperkukuh serta memodenkan struktur tadbir urusnya.

Beliau berkata reformasi pindaan statut FAM tidak seharusnya ditafsirkan sebagai kegagalan badan induk bola sepak negara itu mematuhi statut sebelum ini.

Hamidin berkata FAM sentiasa beroperasi berdasarkan statut yang berkuat kuasa sambil melakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa.

“Saya perlu beri gambaran kepada media. Apa yang kita (FAM) buat sebelum ini, macam Datuk Seri Windsor (Setiausaha Agung AFC Datuk Seri Windsor Paul John) kata, ia adalah proses yang berterusan.

“Kita ikut statut. Kita tak ada bertentangan dengan statut tetapi hari ini ada beberapa perkara yang mungkin daripada statut itu sudah tidak lagi sesuai dengan perkembangan semasa. Hendak mengatakan kita tidak ikut statut, kita ikut statut,” katanya pada sidang media selepas Kongres Luar Biasa (EGM) FAM di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada FAM menyedari kelemahan yang digariskan dalam laporan audit AFC yang membawa kepada cadangan pindaan statut itu, serta langkah yang telah diambil sebelum ini untuk menanganinya.

Hamidin berkata pindaan statut hadir pada masa yang sesuai untuk FAM melaksanakan perubahan menyeluruh ke arah model tadbir urus yang lebih moden dan efektif.

“Dengan adanya reformasi ini, inilah masa terbaik untuk FAM melakukan perubahan secara menyeluruh ke arah tadbir urus baharu,” katanya.

Terdahulu, kesemua ahli gabungan FAM sebulat suara meluluskan draf statut yang dicadangkan AFC pada EGM berkenaan.

Draf statut yang dicadangkan AFC selepas audit terhadap pentadbiran FAM dijalankan adalah bagi memperkukuh tadbir urus serta memacu reformasi yang positif.

Antara cadangan utama ialah pemansuhan jawatan timbalan presiden, pengurangan jumlah kerusi naib presiden kepada tiga serta penstrukturan semula Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM.

Draf statut itu turut mencadangkan peluasan keahlian gabungan FAM, termasuk memberikan status ahli gabungan secara automatik kepada kelab Liga Super serta hak mengundi pada kongres, tertakluk kepada syarat bahawa kelab berkenaan adalah entiti yang berasingan daripada persatuan bola sepak negeri.

Kongres Tahunan FAM yang dijadual berlangsung pada September ini bakal menyaksikan pemilihan kepimpinan baharu badan induk bola sepak negara itu, dengan perhatian tertumpu kepada jawatan Presiden dan tiga naib presiden.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement