MALAYSIA
PDC beri kerjasama penuh siasatan AMLA Bukit Aman - Chow

Chow Kon Yeow yang juga Pengerusi PDC berkata perbadanan itu telah menyerahkan semua dokumen kewangan dan minit mesyuarat berkaitan projek PWC kepada AMLA Bukit Aman yang siasatannya sedang berjalan pada peringkat nasional. - Foto FB Chow Kon Yeow
GEORGE TOWN: Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis dalam siasatan Pasukan Petugas Khas Anti-Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman bagi projek Penang World City (PWC) yang dikaitkan dengan skim pelaburan Mobility Beyond Imagination (MBI).
Ketua Menteri Chow Kon Yeow yang juga Pengerusi PDC berkata perbadanan itu telah menyerahkan semua dokumen kewangan dan minit mesyuarat berkaitan projek PWC kepada AMLA Bukit Aman yang siasatannya sedang berjalan pada peringkat nasional.
"Pada 9 Julai lepas, pasukan AMLA Bukit Aman telah mengunjungi PDC sebagai sebahagian daripada siasatan berskala nasional terhadap skim pelaburan MBI dan lawatan dijalankan mengikut prosedur AMLA yang merupakan sebahagian daripada usaha pihak berkuasa untuk menjejak serta mengesahkan aliran dana yang berkemungkinan berkaitan dengan skim terbabit.
''PDC memberikan kerjasama sepenuhnya kepada mereka dalam usaha menyiasat sebarang kemungkinan penglibatan aliran dana mencurigakan berkaitan skim pelaburan MBI,'' katanya pada sidang akhbar di Pejabat Ketua Menteri di Komtar, di sini hari ini.Mengulas lanjut, Chow berkata siasatan itu tertumpu kepada pembayaran yang dibuat kepada PDC oleh Mutiara Metropolis Sdn Bhd (MMSB) yang dahulunya dikenali sebagai Tropicana Ivory Sdn Bhd (TISB), bagi pembelian tanah yang terlibat dalam pembangunan projek PWC antara 2011 hingga 2019.
Beliau berkata siasatan itu dijalankan mengikut prosedur AMLA dan melibatkan pelbagai entiti dan bidang kuasa di seluruh negara serta PDC terlibat sebagai pihak berkepentingan dalam urus niaga komersial lampau dan telah bertindak mengikut proses yang sewajarnya sepanjang tempoh berkenaan.
"PDC juga komited terhadap prinsip ketelusan, integriti dan tadbir urus yang baik serta akan terus memberikan kerjasama kepada semua agensi penguatkuasaan. Dokumen yang diserahkan mengandungi empat perjanjian utama yang ditandatangani berkaitan projek PWC setakat ini," katanya.
Beliau berkata empat perjanjian itu ialah Perjanjian Pembelian dan Pembangunan antara Ketua Menteri Pulau Pinang (Pemerbadanan) [CMI], PDC dan Ivory Properties Group Berhad (IPGB) pada 11 Nov 2011, Perjanjian Tambahan Pertama antara CMI, PDC dan IPGB bertarikh 24 Okt 2013, Perjanjian Tambahan Kedua bertarikh 23 Jun 2014 dan Perjanjian Novasi merangkap Tambahan antara PDC, CMI, IPGB dan TISB bertarikh 1 Nov 2019.
Katanya, kerja-kerja penambakan tanah bagi projek PWC kini telah mencapai kira-kira 68 peratus siap dan keseluruhan kemajuan pembangunan termasuk fasa semasa dan fasa masa depan telah mencecah 44 peratus.
"Projek mega itu dilihat sebagai pemacu pertumbuhan pembangunan bercampur di bahagian pulau negeri ini dan melibatkan kerjasama pelbagai pihak sejak lebih sedekad lepas," katanya.
Pada Mac lepas, Chow berkata PDC tidak mempunyai sebarang kaitan langsung dengan skim MBI dan PDC dikatakan menjalankan penjualan tanah mengikut prosedur yang ditetapkan dan bukan terlibat dalam transaksi MBI.
Chow berkata penjualan tanah Bayan Mutiara kepada Ivory Properties Group dilakukan melalui proses tender standard pada 2011.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami