KUALA LUMPUR:Pakej Pelan Data dan Peranti Kepada Pelajar Institut Pendidikan Tinggi (IPT) memudahkan akses pelajar ke proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam talian.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, ia ditawarkan atas kesedaran akan kepentingan dan keperluan kaedah PdP norma baharu yang menekankan aspek pengkomputeran awan atau cloud computing sebagai alternatif kepada PdP tradisional.

Datuk Dr Noraini Ahmad memberitahu Pakej Pelan Data dan Peranti Kepada Pelajar IPT ditawarkan atas kepentingan kaedah PdP norma baharu.

“Saya berharap pelbagai bantuan yang ditawarkan ini mampu memberikan persekitaran pembelajaran yang kondusif serta seimbang melalui pendekatan PdP secara dalam talian,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Sabtu.

Terdahulu, beliau melancarkan Pakej Pelan Data dan Peranti Kepada Pelajar IPT yang diadakan secara maya di laman Facebook rasmi KPT.

Beliau menambah, KPT akan menyalurkan bantuan tunai RM50 kepada 76,153 orang pelajar baharu Universiti Awam (UA) bagi sesi akademik 2020/2021 yang melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM3,807,650.

Datuk Dr Noraini Ahmad berharap pelbagai bantuan yang ditawarkan ini mampu memberikan persekitaran pembelajaran yang kondusif

Tambahnya, melalui bantuan tunai ini, seramai 76,153 orang pelajar bakal menikmati faedah bagi membantu mereka mengikuti PdP secara dalam talian mengikut jadual kuliah yang telah ditetapkan oleh pihak pengurusan universiti masing-masing.

"KPT juga akan menyalurkan bantuan Pelan Data kepada 320,396 orang pelajar B40 yang melibatkan peruntukan sebanyak RM24 juta.

“Melalui bantuan Pelan Data tersebut, sebanyak 225,784 unit kad SIM diagihkan kepada pelajar dengan kerjasama syarikat telekomunikasi, khususnya Yayasan YTL dan Lembaga Tabung Haji, manakala baki seramai 94,612 orang pelajar pula akan mendapat pemberian tunai bagi tujuan pembelian pelan data.

“Tambahan lagi, KPT juga telah berunding dengan beberapa buah syarikat telekomunikasi iaitu Celcom, Digi, Telekom Malaysia dan Maxis bagi membolehkan semua pelajar IPT menikmati Pakej Pelan Data Interaktif Istimewa yang tidak dapat ditemui dalam pasaran semasa,” katanya.

Dalam pada itu jelasnya, KPT juga menyediakan sebanyak 8,965 unit peranti komputer riba khusus kepada pelajar di bawah kategori B40 secara bersasar yang dianggarkan bernilai RM13 juta.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 5,965 orang pelajar bakal menerima bantuan komputer riba secara percuma, 2,700 orang pelajar pula akan menerima bantuan dalam bentuk pemberian tunai bagi tujuan yang sama, manakala seramai 300 orang pelajar akan menikmati bantuan pinjaman kewangan bagi memiliki komputer riba yang diperlukan dengan tawaran harga istimewa.

Datuk Dr Noraini Ahmad memberitahu KPT akan menyalurkan bantuan tunai RM50 kepada 76,153 orang pelajar baharu Universiti Awam (UA) bagi sesi akademik 2020/2021

“Pada masa yang sama, semua pelajar IPT turut ditawarkan diskaun istimewa khas daripada syarikat pengeluar peranti seperti Acer dan Samsung bagi meringankan beban untuk memiliki peranti seperti komputer riba agar dapat mengikuti sesi PdP secara dalam talian,” ujarnya.

Selain daripada bantuan-bantuan tersebut, Dr. Noraini berkata, KPT dengan kerjasama Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) turut melancarkan inisiatif crowdfunding melalui Tabung Prihatin Siswa bagi memastikan kelangsungan atau kemampuan untuk pelajar-pelajar ini meneruskan PdP secara dalam talian.

“Inisiatif ini dilihat sebagai platform bagi mengajak pihak luar bersama-sama dengan KPT dalam menyalurkan sumbangan untuk membantu meringankan kesulitan pelajar yang berkeperluan dalam meneruskan PdP tanpa kekangan,” jelasnya lagi.