KUALA LUMPUR: Kanak-kanak dari keluarga berpendapatan rendah berdepan banyak halangan dalam mengikuti pembelajaran di rumah (PdPR) yang berkesan sepanjang tempoh sekolah ditutup susulan pandemik COVID-19 yang melanda dunia ketika ini.

Itu antara dapatan Siri Keempat Kajian Keluarga di Pinggiran oleh Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Tabung Kependudukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA).

Menurut laporan itu, hanya 35 peratus isi rumah mempunyai akses kepada peranti yang wajar iaitu komputer atau tablet.

"Sementara majoriti bergantung pada telefon pintar untuk mencapai kandungan dalam talian yang disediakan oleh pihak sekolah," memetik laporan itu.

Berkait isu pendidikan, enam daripada 10 keluarga berkata program DidikTV yang dilancarkan oleh Kerajaan baru-baru ini sedikit-sebanyak membantu menangani isu tersebut.

"40 peratus menghadapi pelbagai rintangan, termasuk cabaran untuk anak-anak mereka memahami program tersebut.

"Lapan daripada 10 keluarga berkata anak-anak mereka tidak mampu menumpukan perhatian, sementara enam daripada 10 berkata anak-anak mereka sudah hilang minat belajar," menurut laporan itu.

Kajian itu dilakukan pada Mac lalu, genap setahun selepas Perintah Kawalan Pergerakan COVID-19 yang pertama dikuatkuasakan.

Projek kajian Keluarga di Pinggiran ditaja oleh UNICEF dan UNFPA itu adalah bagi membantu penggubalan dasar dan menggalakkan wacana umum mengenai kesan pandemik COVID-19 ke atas wanita dan kanak-kanak dalam keluarga berpendapatan rendah di bandar di Malaysia.

Projek ini melibatkan kajian ke atas 500 keluarga berpendapatan rendah yang mendiami 16 perumahan awam kos rendah di Kuala Lumpur.

Dapatan siri kajian sebelum ini mendapati tindak balas dasar kerajaan memainkan peranan kritikal dalam mengurangkan kesan negatif yang teruk.

"Bantuan Prihatin Nasional (BPN) misalnya menepati sasaran dan sangat membantu dalam menampung pendapatan isi rumah yang berkurangan.

"Agak memberangsangkan juga apabila keluarga yang memerlukan perkhidmatan kesihatan sebelum dan selepas bersalin mendapat akses yang diperlukan tanpa begitu banyak halangan," memetik laporan itu.