KUALA LUMPUR:Kerajaan diminta untuk mewujudkan task force bersepadu bagi memperhalusi dan memperkemaskan sistem pembelajaran normal baharu khususnya melibatkan kaedah Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR).

Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia PKR, Akmal Nasir berkata, jawatankuasa itu perlu melibatkan ahli Parlimen daripada pembangkang dan pihak-pihak berkepentingan kumpulan masyarakat sivil.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata, Kementerian Pelajaran (KPM) juga perlu memberi tumpuan terhadap pemerkasaan kaedah PdPR berbanding membuka semula sekolah buat masa ini memandangkan kadar kebolehjangkitan COVID-19 yang masih tinggi iaitu pada paras melebihi 1.0.

"Menteri KPM seharusnya mengambil langkah yang lebih proaktif dengan membentangkan pelan strategi pelaksanaan PdPR yang lebih sistematik, berkualiti dan cekap bagi tempoh sekurang-kurangnya enam bulan sebagai fasa awal.

 
Sumber Facebook akmalnasir.keadilan

"Hanya dengan cara ini, semua pihak berkepentingan khususnya guru-guru dan ibu bapa dapat memahami hala tuju yang jelas tentang proses pembelajaran yang akan dilalui oleh para pelajar sepanjang tempoh genting ini.

"Sehubungan itu, KPM seharusnya mengambil pengajaran dengan apa yang berlaku di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Lipis apabila 144 pelajar dikuarantin setelah seorang daripada pelajarnya didapati positif COVID-19," katanya dalam kenyataan di sini, pada Khamis.

Dalam pada itu, Akmal berkata, KPM perlu membentangkan data terkini mengenai kadar partisipasi pelajar dalam PdPR setelah hampir setahun kaedah ini berjalan.  

Ini kerana, jelas beliau, merujuk statistik pada November 2020, berlaku pola peningkatan yang membimbangkan terhadap kadar keciciran pelajar dengan peningkatan kepada 0.13 di peringkat sekolah rendah dan peningkatan daripada 1.14 peratus tahun 2019 kepada 1.26 peratus bagi sekolah menengah pada tahun 2020.

"Tanpa tindakan segera, masalah ini akan memberi kesan jangka masa panjang yang lebih parah kepada negara iaitu peningkatan terhadap jurang generasi.

"Data yang dikeluarkan oleh KPM sendiri pada April 2020 menunjukkan sebanyak 36.9 peratus murid tidak mempunyai sebarang peranti bagi membolehkan mereka mengikuti pembelajaran secara dalam talian," ujarnya.

Tambahnya lagi, buku manual PdPR yang dikeluarkan KPM pula dilihat tidak cukup komprehensif dan meletakkan bebanan yang terlalu besar ke atas para guru.

Sebagai contohnya, katanya, para guru diminta untuk menetapkan sendiri kaedah pentaksiran bagi menilai prestasi murid dalam sesi PdPR.

"Juga masih tidak jelas sama ada guru-guru akan diminta untuk menghabiskan sukatan mata pelajaran seperti norma biasa atau ada silibus khas yang telah disesuaikan dengan norma pembelajaran yang baharu," katanya lagi.

Sementara itu, tegas Akmal, KPM juga perlu memandang serius terhadap situasi para pelajar yang akan menduduki peperiksaan awam seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

"Semestinya emosi dan motivasi para pelajar ini terjejas akibat suasana genting dan hal ini boleh mengganggu prestasi mereka dalam peperiksaan.

"Secara umumnya terlalu banyak perkara yang masih tidak jelas mengenai situasi pendidikan negara ketika ini.

"AMK merasakan perlu ada semakan menyeluruh bagi memastikan proses pembelajaran para pelajar tidak tergendala," katanya lagi.