MALAYSIA
PDRM arah semua kontinjen perketat keselamatan fasiliti LNG susulan ugutan di Bintulu

Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, berkata pegawai berkenaan membuat laporan polis selepas menerima beberapa mesej berunsur ancaman sejak kebelakangan ini. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperketatkan kawalan keselamatan di semua fasiliti gas asli cecair (LNG) terutama di Bintulu susulan laporan seorang pegawai PETRONAS menerima ugutan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada individu tidak dikenali.
Ringkasan AI
- PDRM memperketatkan kawalan keselamatan di semua fasiliti LNG, khususnya di Bintulu, selepas seorang pegawai PETRONAS menerima ugutan melalui SMS daripada individu tidak dikenali dan membuat laporan polis.
- Ketua Polis Negara mengarahkan semua kontinjen polis membantu memastikan keselamatan fasiliti strategik negara, manakala Majlis Keselamatan Negara (MKN) turut mengarahkan peningkatan kawalan keselamatan serta-merta.
- MKN menasihatkan orang ramai agar tidak menimbulkan spekulasi dan memberi jaminan bahawa perkembangan situasi akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Derma Darah Sempena Sambutan Hari Polis ke-218 di Bukit Aman, hari ini.
Mohd Khalid menegaskan, pihak polis di semua kontinjen turut digerakkan bagi memastikan keselamatan fasiliti-fasiliti strategik negara itu terus terjamin.
“Pihak polis di semua kontinjen juga membantu agar perkara-perkara berkaitan dapat diselenggarakan dengan baik demi keselamatan negara,” katanya.
Terdahulu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya menerima makluman berhubung ancaman keselamatan terhadap fasiliti LNG di negara ini, khususnya di Bintulu.
MKN dalam kenyataan itu mengarahkan semua fasiliti LNG meningkatkan kawalan keselamatan serta-merta bagi membolehkan siasatan dijalankan.
Agensi itu turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menimbulkan spekulasi, sambil memberi jaminan bahawa perkembangan situasi akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami