Kemelut yang melanda Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam isu membabitkan siasatan ke atas syarikat SRC International dilihat semakin mengikis kepercayaan rakyat terhadap institusi negara.

Pengasas Kumpulan Rights, Yusmadi Yusuf berkata perkara itu perlu diatasi segera termasuk menubuhkan Suruhanjaya Diraja (RCI) bagi menyelesaikan siasatan secara bebas yang dilihat mampu mengembalikan semula kepercayaan rakyat.

"Selesaikan segera. Saya bimbangkan kepercayaan rakyat terhadap institusi negara semakin terhakis.

"Ini bukan soal sama ada PDRM betul atau SPRM salah; ini soal kepercayaan rakyat terhadap institusi negara," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Khamis.

Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali turut digesa memainkan peranan lebih berkesan dalam menyelesaikan isu membabitkan SRC International dan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Saya harap Peguam Negara memainkan lebih peranan. Beliau perlu melindungi kepentingan awam selain mempunyai kuasa mendakwa," ujarnya lagi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar sebelum ini menafikan tindakan pihaknya memanggil beberapa individu bagi merakamkan percakapan berhubung dakwaan pembocoran dokumen siasatan SPRM sebagai satu gangguan.

Setakat ini, PDRM telah memanggil lebih sembilan pegawai SPRM termasuk Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Bahri Mohamed Zin untuk diambil keterangan.