Polis Diraja Malaysia (PDRM) memohon kerajaan memberi pertimbangan khas untuk menambah keanggotaan pasukan VAT69 Komando dan Unit Tindakan Khas (UTK).

Permohonan sedang dibuat untuk menambah anggota VAT69 dari lebih 600 sekarang kepada hampir 1,000 dan keanggotaan UTK dari lebih 400 kepada lebih 800.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDN/KA) PDRM, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, tambahan itu perlu kerana penugasan mereka semakin diperlukan untuk menghadapi ancaman, khususnya di pantai Timur Sabah.

“PDRM sedar bahawa dasar kerajaan sekarang ni usaha untuk mengecilkan jumlah penjawat awam tetapi untuk isu keselamatan ini, pihak PDRM berharap pihak kerajaan akan memberikan pertimbangan yang khas kerana isu keselamatan kita tak boleh nak kompromi.

“Tambahan pula pasukan VAT69 ini bukan sahaja dilatih untuk tugas-tugas seperti mana yang berlaku di pantai timur Sabah, bahkan mereka juga dilatih untuk menangani keganasan dalam bandar,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis penyerahan sumbangan asnaf kepada balu anggota VAT69 Komando dan pelepasan kembara pacuan empat roda anjuran Persatuan Veteran VAT 69 Komando di Ipoh pada Sabtu.

Hadir sama Yang Dipertua Persatuan Veteran VAT69 Komando Datuk Abdul Rashid Harun.

Program itu diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-50 penubuhan VAT69 yang jatuh pada 23 Oktober depan.

Dalam pada itu, Acryl Sani berkata, VAT69 dijangka mempunyai sebuah kem sendiri dalam masa dua tahun, yang terletak bersebelahan kem Pasukan Gerakan Am (PGA) di Hulu Kinta, Perak