KUALA LUMPUR: Kes penyebaran elemen ekstremisme dalam kalangan pelajar sekolah di negara ini masih dianggap terpencil, namun pihak berkuasa tidak akan mengambil mudah sebarang ancaman yang boleh menjejaskan keselamatan negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata walaupun jumlah kes yang dikesan adalah kecil, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa memantau perkembangan itu dan menganggapnya sebagai isu serius.
Menurut beliau, pengalaman lalu menunjukkan bagaimana pendedahan berterusan kepada bahan-bahan yang menggalakkan keganasan boleh mendorong seseorang individu bertindak di luar kawalan.
“Kita tidak mahu insiden seperti serangan ke atas balai polis di Johor berulang.
"Penyerang yang terlibat ketika itu masih berusia awal 20-an dan hasil siasatan mendapati dia terpengaruh dengan kandungan daripada laman-laman yang mempromosikan keganasan.
“Insiden itu bukan sahaja mengorbankan nyawa anggota polis, malah turut menyebabkan penyerang terbunuh, manakala ahli keluarganya pula berdepan tindakan undang-undang,” katanya kepada pemberita semasa sidang media Program Citra Negara MDN: Sekolah Selamat, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata satu lagi kes membabitkan seorang pelajar sekolah di Kedah berjaya dikesan hasil risikan polis sebelum tindakan lanjut diambil.
Menurutnya, keluarga pelajar berkenaan sendiri tidak menyedari penglibatan anak mereka kerana tidak pernah menunjukkan sebarang hubungan fizikal dengan kumpulan tertentu.
“Namun, siasatan mendapati pelajar itu mempunyai akses kepada bahan-bahan yang mengandungi unsur keganasan dan ekstremisme.
“Walaupun kes seperti ini terpencil, daripada sudut modus operandi polis, sekecil mana pun ancaman berkaitan ekstremisme akan tetap diberi perhatian serius,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan kepentingan pendekatan pencegahan menerusi program kesedaran seperti Program Sekolah Selamat bagi memastikan golongan muda tidak terdedah kepada pengaruh berbahaya.
Katanya, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) di bawah Bukit Aman memainkan peranan penting dalam menyampaikan mesej pencegahan kepada masyarakat, khususnya dalam kalangan pelajar dan belia.
“Langkah pencegahan perlu diperkukuhkan dan tugas ini telah dipertanggungjawabkan kepada JPJKK untuk menyampaikan mesej secara lebih meluas kepada masyarakat, terutama anak muda,” ujarnya lagi.